Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Prihatian Nasional pada 27 Mac 2020 untuk rakuat Malaysia yang menghadapi penularan Covid-19.

PUTRAJAYA – Kerajaan menubuhkan Unit LAKSANA di Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Prihatin dan Prihatin Tambahan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, unit itu akan sentiasa memantau dan melaporkan perkembangan pelaksanaan semua inisiatif kepada beliau dan Menteri Kewangan.

Jelas beliau lagi, untuk menyokong penyampaian inisiatif Prihatin, portal IMSME.COM.MY yang dikendalikan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk menerima permohonan pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang telah diumumkan.

“Jadi, selain daripada memohon pinjaman terus daripada institusi perbankan, para pengusaha PKS juga ada pilihan untuk membuat permohonan pinjaman melalui portal IMSME. Portal ini juga menyediakan khidmat myKNP, iaitu khidmat nasihat pembiayaan untuk PKS.

“Dalam kalangan perusahaan mikro dan kecil, Kerajaan juga mengambil kira kesan ke atas syarikat baru mula atau startups di mana sumber pelaburan syarikat turut terjejas.

“Syarikat startups merupakan faktor pemboleh atau enabler serta pendorong yang penting kepada penggunaan teknologi dan kemajuan potensi modal insan bagi menyediakan negara ke arah IR 4.0.

“Menyedari kepentingan startups, kerajaan akan mempertimbang pelbagai inisiatif untuk merangsang sektor ini dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen di sini hari ini.

Muhyiddin berharap Pakej Prihatin Tambahan itu akan dapat melindungi pekerjaan anda semua di samping menjamin daya tahan perniagaan.

Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan amalan kewangan berhemah dan disiplin fiskal yang tinggi demi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh dan terkawal.

“InsyaAllah, apabila Parlimen bersidang nanti, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan untuk semua pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa telus dalam berbelanja dan semua tindakan yang diambil adalah berasaskan kepada peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette