PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat bukan satu kejadian pelik atau buang tabiat apabila ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Malah kata Perdana Menteri, hasil pemerhatiannya di media sosial, ada yang mengayuh basikal dalam rumah selain juga yang mengubah ucapannya menjadi lagu.
Bagi beliau, ia adalah sebahagian daripada kreativiti rakyat untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.
“Saya tahu setelah tiga minggu saudara-saudari berkurung di rumah, mungkin ada di kalangan saudara-saudari yang berasa agak terbeban dengan dugaan dan ujian Tuhan ini.
“Selama tiga minggu ini, kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat. Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan.
“Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen di sini hari ini.
Muhyiddin menambah, apa yang penting, masyarakat mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian.
Ini kerana beliau yakin Tuhan tidak menguji atau membebani hambanya dengan sesuatu yang tidak boleh ditanggung.
“Saya yakin dugaan yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini bukanlah sesuatu yang tidak dapat tanggung oleh kita semua. Teruslah cekal, kuat dan bersemangat. Yakinlah, kita akan dapat atasi dugaan ini bersama-sama.
“Akhir sekali, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.
“Terima kasih semua doktor, jururawat, anggota polis, anggota tentera, imigresen, RELA, bomba, kakitangan JKM, sukarelawan NGO dan semua yang terlibat di barisan hadapan.
“Terima kasih juga kepada anda sekalian yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Teruslah sabar, tenang dan istiqamah. InsyaAllah, kita akan bangkit semula,” katanya. – MalaysiaGazette
















