KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu membawa isu jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk di Sabah ke peringkat serantau bagi memastikan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan lebih berkesan dapat dilaksanakan bersama Indonesia.
Pengerusi Wanita MCA Sabah, Datuk Dr Pamela Yong berkata, Sabah semakin merasai kesan jerebu apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sandakan mencecah 152 hari ini, manakala beberapa kawasan di Kota Kinabalu turut merekodkan bacaan meningkat.
Beliau berkata, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) turut melaporkan kualiti udara pada tahap tidak sihat hingga berbahaya di Sabah dan Sarawak.
“Bagi rakyat Sabah, ini bukan sekadar isu alam sekitar.
“Jerebu mengancam kesihatan awam, mengganggu persekolahan, pelancongan dan aktiviti luar, selain menjejaskan punca pendapatan terutama komuniti yang terdedah kepada kualiti udara buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keadaan di Sarawak yang turut merekodkan bacaan IPU melebihi 400 minggu ini, dengan Serian mencecah 518 hari ini, menunjukkan betapa serius dan meluasnya jerebu yang kini melanda Borneo.
Katanya, keadaan itu membuktikan jerebu bukan lagi masalah terpencil yang hanya menjejaskan kawasan tertentu, sebaliknya isu alam sekitar dan kesihatan awam bersama yang memerlukan tindakan bersepadu merentas sempadan.
Pamela berkata, meskipun Kerajaan Sabah telah mempergiat rondaan dan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka, tindakan di peringkat tempatan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah asap yang bergerak merentasi sempadan dari Kalimantan.
Sehubungan itu, Wanita MCA Sabah menggesa Kerajaan Persekutuan meletakkan kebimbangan Sabah dengan lebih tegas dalam agenda serantau serta mendapatkan kerjasama lebih kukuh dan berorientasikan hasil dengan Indonesia.
Antara langkah yang dicadangkan ialah perkongsian data masa nyata mengenai titik panas dan pengesanan kebakaran, khususnya dari kawasan berhampiran di Kalimantan, bagi membolehkan tindakan diambil lebih awal.
“Kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme tindak balas pantas yang membolehkan pesawat pemadam kebakaran, anggota khusus dan peralatan digerakkan segera sebelum asap merentasi sempadan,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan itu boleh mengambil kira rangka kerja strategik yang pernah dicadangkan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Selain itu, katanya, Indonesia perlu didesak meningkatkan akauntabiliti terhadap pembakaran haram dan pembukaan tanah, termasuk bergerak melangkaui komitmen tidak mengikat di bawah kerangka jerebu ASEAN yang telah berusia lebih dua dekad.
Dalam masa sama, Pamela berkata penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka di Sabah perlu terus diperkasakan kerana setiap kebakaran, sama ada pembakaran sampah secara sengaja atau puntung rokok yang mencetuskan kebakaran tanah gambut, boleh memburukkan keadaan.
“Sabah tidak sepatutnya hanya diminta menanggung kesan jerebu yang berpunca dari luar sempadannya. Putrajaya perlu bersuara untuk Sabah dan mendesak tindakan terhadap pencegahan, tindak balas pantas serta akauntabiliti.
“Udara bersih bukan satu keistimewaan, tetapi hak asas setiap rakyat Sabah,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















