WABAK Covid 19 terus menjadi ancaman negara dan menjadi topik perbincangan hangat waktu ini. Ketika artikel ini ditulis, jumlah pesakit yang dijangkiti wabak ini di Malaysia telah menjangkau 3793 kes dengan 62 kematian.
Wabak ini menjangkiti individu dalam skala yang besar serta amat sukar dikekang penyebarannya. Susulan daripada itu, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak ini dari tersebar dengan lebih meluas. Walaupun PKP peringkat kedua akan berakhir pada 14 April ini, rakyat Malaysia harus bersedia sekiranya ia dilanjutkan bergantung kepada keadaan semasa.
Selain daripada warga emas, wanita mengandung juga adalah antara mereka yang berisiko tinggi dijangkiti wabak ini. Justeru itu, wanita mengandung yang memasuki trimester ketiga dalam tempoh PKP ini pasti merasa khuatir untuk keluar menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan, dan tertanya-tanya adakah mereka memerlukan persiapan yang lebih sekiranya ditakdirkan bersalin dalam tempoh PKP ini.
Pemeriksaan kandungan adalah sangat penting untuk diteruskan dalam waktu PKP. Pemeriksaan akan bertambah kerap di trimester ketiga iaitu antara seminggu atau dua minggu sekali. Anda hanya perlu menunjukkan bukti dalam bentuk Kad Temujanji atau Buku Antenatal di pos kawalan polis sekiranya perlu hadir ke klinik.
Walau bagaimana pun, adalah dinasihatkan supaya anda hanya membawa seorang peneman sahaja bersama dan mengamalkan penjarakan sosial, di samping menjaga kebersihan dan kerap mencuci tangan.
Adalah dinasihatkan agar anda memberitahu pihak klinik sekiranya anda mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak supaya pemeriksaan dapat ditangguhkan sehingga tempoh pengasingan tamat.
Dalam tempoh PKP ini, wanita hamil tidak digalakkan untuk merantau atau pulang ke kampung untuk bersalin supaya risiko jangkitan Covid 19 dapat dikurangkan. Tetaplah berada di tempat tinggal anda dan bersalin di hospital yang berdekatan.
Sekiranya secara kebetulan anda berada di kampung sewaktu tempoh PKP ini, laporkanlah diri anda ke klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan kandungan dan untuk rujukan bersalin di hospital terdekat. Adalah tidak digalakkan untuk anda keluar dari rumah melainkan untuk urusan pemeriksaan kandungan dan bersalin sahaja.
Kebanyakan hospital telah menghadkan pelawat dan menangguhkan pelaksanaan Polisi Mesra Ibu untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Anda boleh menghubungi pihak hospital untuk bertanyakan polisi semasa supaya anda lebih bersedia.
Anda juga harus bersedia secara fizikal dan mental untuk bersalin dengan hanya ditemani petugas wad bersalin yang sentiasa bersedia membantu anda.
Persediaan untuk bersalin harus dilakukan awal supaya tidak terburu-buru apabila sampai masanya. Barang-barang keperluan lebih baik disimpan di dalam kereta yang akan menghantar anda ke hospital sewaktu hendak bersalin nanti. Adalah penting untuk anda memastikan anda membawa pembersih tangan untuk kegunaan anda di hospital kelak.
Bersegeralah ke hospital sekiranya terdapat tanda-tanda seperti kontraksi yang lebih kerap, pendarahan atau pecah air ketuban. Dalam tempoh PKP ini, masa perjalanan anda ke hospital mungkin lebih lama memandangkan anda harus melalui pos kawalan polis di dalam perjalanan.
Justeru, anda boleh memohon bantuan pihak polis untuk menggunakan laluan kecemasan sekiranya kontraksi anda bertambah kuat.
Anda juga harus melalui kaunter saringan di pintu masuk hospital. Anda perlu memberitahu kakitangan bertugas sekiranya anda bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak, atau mempunyai sejarah perjalanan dan kontak dengan pesakit covid 19.
Anda juga mungkin perlu mengisi borang deklarasi Covid 19 yang mengandungi segala maklumat di atas. Suhu badan anda juga akan diambil untuk memastikan anda tiada gejala sebelum anda masuk ke dewan bersalin.
Anda tidak perlu memakai topeng muka ketika bersalin sekiranya anda tiada gejala. Anda juga tidak perlu risau terkena jangkitan Covid-19 ketika bersalin, kerana pesakit-pesakit yang telah disahkan positif Covid-19 akan diasingkan dan dirawat di hospital khas covid yang berbeza dengan anda.
Kebanyakan hospital telah menghadkan waktu lawatan atau tidak membenarkan pelawat menziarahi pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan. Adalah dinasihatkan supaya anda sentiasa bertenang dan fokus untuk memulihkan kesihatan anda selepas bersalin dan menyusukan bayi anda.
Sekiranya tiada masalah, anda akan dibenarkan pulang ke rumah dalam 12 jam ke 24 jam selepas bersalin secara normal. Walau bagaimanapun, anda harus dipantau dari dua hingga ke tiga hari sekiranya anda bersalin secara pembedahan.
Anda tidak digalakkan untuk pulang ke kampung untuk berpantang sepanjang tempoh PKP ini. Berpantanglah di rumah anda dengan bantuan suami. Anda juga tidak digalakkan untuk menerima sebarang pelawat di rumah anda untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada anda dan bayi anda.
Adalah menjadi tangungjawab setiap individu untuk mengekang penularan wabak Covid 19 yang menjadi ancaman negara dan dunia sekarang. Bersama-samalah kita mengikuti semua arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta mematuhi PKP agar wabak ini dapat dikekang.
Oleh: Dr. Amilia Afzan Mohd Jamil
Pakar Obstetrik dan Ginekologi,
Jabatan Obstetrik dan Ginekologi,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM