Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menuntut penjelasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung alasan kerugian yang terpaksa ditanggung sebuah syarikat arak.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya menegaskan, ia perlu dijelaskan oleh menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Langkah itu diambil berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid yang dilihat mengelirukan apabila mengatakan syarikat terbabit hanya diberi kebenaran mengedar dan bukannya beroperasi sebagaimana yang dilapor oleh media.

“Kenyataan timbalan menteri ini bercanggah dengan kenyataan kerajaan persekutuan yang mengumumkan pembatalan kebenaran operasi kilang tersebut sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sekaligus mengesahkan kesahihan surat tersebut yang secara jelas menyebut tentang pengoperasian.

“Jika benar sekalipun kebenaran tersebut adalah bagi pengedaran stok arak dan bukannya pengoperasian kilang, ianya masih salah kerana tidak termasuk dalam kategori barangan keperluan asas yang disenaraikan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sewaktu PKP. Maka, tindakan ini juga tidak wajar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Aminuddin mengingatkan bahawa isu arak bukanlah perkara yang kecil dan remeh kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mempunyai sensitiviti yang tinggi dalam isu berkenaan.

Baru-baru ini tular sepucuk surat bertarikh 31 Mac 2020 yang didakwa dikeluarkan KPDNHEP apabila memberi kebenaran kepada syarikat arak Heineken Malaysia Berhad untuk beroperasi semasa PKP.

Di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa Heineken pada 24 Mac lalu telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan kilang itu dibenarkan berbuat demikian bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang PKP.

Bagaimanapun, kerjaan mengambil langkah pantas apabila membatalkan kebenaran operasi kilang arak berkenaan kerana ia tidak selari dengan dasar yang ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette