foto IQBAL BASRI, 01 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membantu Petronas bagi mengelakkan sektor minyak dan gas di negara ini tidak ranap ketika negara berdepan saat kritikal akibat penularan wabak Covid-19.

Pandangan itu dilontarkan Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan yang memberitahu, selain daripada mengurus isu kecemasan kesihatan seperti yang dihadapi oleh semua industri atau sektor perniagaan lain, pada masa yang sama Petronas menghadapi senario harga minyak yang rendah.

Katanya, kerajaan dan syarikat perlu melihat kepada pengurusan krisis, rantaian bekalan dan permintaan, bajet atau kewangan kerajaan, cukai dan perdagangan serta isu tenaga kerja yang merupakan rakyat Malaysia sendiri.

“Keputusan Arab Saudi untuk menambah pengeluaran dan permintaan yang rendah akibat Covid-19 telah menyebabkan harga minyak dunia menjunam teruk.

“Tempoh pemulihan dilihat berpanjangan selama dua tahun dan mungkin jika OPEC dan Rusia tidak berperang harga, maka pemulihan mungkin lebih pendek.

“DPIM mencadangkan bagi pengurusan krisis, Petronas dan kerajaan harus menilai bagaimana keuntungan dan aliran tunai dapat menyokong operasi yang berterusan dalam iklim harga minyak yang rendah termasuk perbelanjaan operasi tunai semasa, cukai dan lain-lain perbelanjaan tunai.

Shahir Adnan

“Keseimbangan antara pendapatan, perbelanjaan dan cukai kepada kerajaan adalah penting untuk kesinambungan operasi minyak dan gas di negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kerajaan juga harus faham bahawa syarikat minyak seperti Petronas bakal menghadapi cabaran untuk akses ke pasaran modal dan kredit serta merancang kemungkinan penguncupan kecairan tunai secara global.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan dan Petronas harus merancang untuk menilai semula ramalan aliran tunai dan berhati-hati dalam membuat keputusan aliran tunai masuk dan keluar serta bersedia dengan senario terbaik dan terburuk dalam tempoh jangka pendek dan panjang.

Tambahnya, keseimbangan antara bantuan tunai kepada negara dan kelestarian operasi syarikat Petronas adalah penting untuk menjamin ekonomi negara yang stabil. – MalaysiaGazette