Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengesan sebanyak 69 kes sporadik hasil daripada 8,025 ujian jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan penyakit seperti influenza (ILI) yang dijalankan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, pihaknya masih tidak tahu asal usul jangkitan sporadik, sama dari jemaah tabligh mahupun perhimpunan gereja di Kuching Sarawak.

“Kes sporadik yang positif setakat ini adalah 69 kes dan yang negatif adalah 7,956 kes.

“Kita ada kes sporadik tapi tak banyak di mana 69 kes saja, yang mana kita tak tahu kes sporadik asal jangkitan itu dari mana.

“Ada kes sporadik bila kita tengok sejarah, sama ada kes himpunan Seri Petaling ataupun berkaitan dengan himpunan gereja di Kuching Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kes sporadik berlaku sebagai satu petunjuk bahawa penyakit itu merebak dalam masyarakat.

KKM juga telah menjalankan pengawasan Covid-19 untuk mengesan kes-kes tempatan dan sporadik di Malaysia melalui pesakit ILI dan SARI tanpa sejarah perjalanan ke negara-negara yang terlibat dengan kontak yang disahkan kes Covid-19.

Sementara itu, Noor Hisham juga mengesahkan bahawa setakat ini tiada kes kematian akibat wabak Covid-19 di luar negara yang ingin dibawa balik ke Malaysia.

“Kalau nak dibawa balik, kita kena mengikuti peraturan-peraturan di KKM bagaimana kita nak bawa balik dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette