KUCHING – Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah merayu semua rakyat negeri ini yang mempunyai kaitan dengan kluster-kluster COVID-19 supaya segera tampil dan membuat saringan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) meminta sesiapa sahaja yang terlibat dengan beberapa kluster di Sarawak seperti perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, perjumpaan di Gereja Emmanuel Baptist serta Kampung Patingan agar memberi kerjasama dan tidak mementingkan diri.

“Kita sudah maklum kepada rakyat agar semua yang menghadiri majlis-majlis berkenaan untuk tampil membuat pemeriksaan kerana ini adalah untuk kebaikan mereka dan masyarakat.

“Mereka tidak akan ditangkap sebaliknya hanya perlu menjalani ujian ini kerana mereka juga mempunyai keluarga dan kita tidak mahu virus ini disebarkan pula kepada ahli keluarga yang lain,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Abdul Karim mendedahkan beliau sendiri sudah dua kali menjalani ujian saringan COVID-19 susulan jadual kerjanya yang memerlukan beliau bertemu ramai orang serta terlibat dengan banyak mesyuarat.

Saringan ujian COVID-19 juga, katanya, hanya memerlukan masa 24 jam untuk mendapat keputusan dan tidak lagi perlu menunggu masa yang lama.

“Sebelum ini keputusan ujian hanya akan diterima selepas tiga hari kerana perlu dihantar ke Kuala Lumpur, namun ketika ini kita sudah ada kemudahan itu di Hospital Umum Sarawak dan makmal Universiti Malaysia Sarawak,” katanya. – Bernama