Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat proses disinfeksi nyahkuman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pasar Awam Seksyen 6 Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 06 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Tabung Covid-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lalu kini berjumlah RM22.6 juta.

Pada hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sumbangan berjumlah RM4 juta daripada beberapa syarikat korporat.

Antaranya Telekom Malaysia, Sunway Bhd, dan Ranhill Bhd.

Telekom Malaysia Bhd yang diwakili Pengerusinya, Rosli Man menyampaikan sumbangan sebanyak RM2 juta sementara Sunway Bhd menyumbangkan RM1 juta.

Sumbangan itu disampaikan wakilnya, Sarena Cheah selaku Pengarah Urusan Sunway Property Development Malaysia & Singapore.

Muhyiddin turut menerima jumlah sama daripada Ranhill Bhd yang diwakili Datuk Seri Kamarudin Ambok.

Selain sumbangan wang tunai, Muhyiddin turut menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM2 juta daripada Western Digital Sdn Bhd.

Tabung Covid-19 yang diumumkan Muhyiddin bagi membantu rakyat yang tidak bekerja dan terjejas berikutan dikuarantinkan, dalam bentuk kewangan.

Sebagai permulaan, bantuan ihsan sebanyak RM1 juta disalurkan ke dalam tabung tersebut bagi membantu pesakit yang tidak mempunyai pekerjaan dan terganggu kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih.

Ia dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 16010001138714 (Bank Muamalat – Tabung Bantuan Bencana Negara). -MalaysiaGazette