Orang awam memakai topeng penutup mulut dan hidung berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24.62 juta topeng muka percuma akan diagih kepada rakyat Malaysia, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pengedaran topeng muka itu akan dikendalikan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, APM akan menghantar bekalan topeng muka ke Majlis Keselamatan negeri (MKN) yang kemudiannya akan mengagihkan pula ke Pusat Jawatankuasa Bencana Daerah diedarkan kepada isi rumah yang memerlukan.

Katanya, setiap rumah akan dibekalkan dengan empat helai topeng muka untuk dipakai apabila keadaan memerlukan.

Menurut Ismail Sabri, seperti yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, hanya mereka yang bergejala sahaja perlu memakai topeng muka.

“Topeng muka yang sedang diagihkan di seluruh negara bukan sumbangan tetapi dibeli oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 yang ada kaitan dengan kluster keselamatan di sini.

Bulan lalu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan akan memberi secara percuma penutup hidung dan mulut kepada 8.3 juta isi rumah.

Katanya, pengagihan itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat, dengan berpandukan nasihat daripada KKM mengenai siapa yang sewajarnya mendapat topeng muka berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi pengagihan topeng muka ke Sabah, Sarawak dan Labuan, penghantaran akan dilakukan Jumaat ini.

“Penghantaran topeng muka ke Sabah, Sarawak dan Labuan akan disegerakan dengan bantuan penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada hari Jumaat ini.