Sebahagian barang rampasan kes samun dan pecah rumah di Petaling Jaya.foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2020

PETALING JAYA – Dua suspek lelaki termasuk seorang warga Thailand yang bergiat aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah di daerah Petaling Jaya akhirnya berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis bertindak atas maklumat awam menyerbu sebuah rumah di Taman Subang Indah sekitar jam 2.30 pagi sebelum menahan kedua dua suspek itu.

Katanya kedua-dua suspek berusia 34 dan 36 tahun dan salah seorangnya adalah warga tempatan ditangkap ketika berada dalam rumah tersebut.

“Hasil semakan lanjut salah seorang suspek memiliki 9 rekod jenayah lampau kes dadah dan samun jalanan.

“Polis juga dalam pemeriksaan di rumah itu berjaya merampas sembilan telefon bimbit pelbagai jenama,, beg galas hitam mengandungi sebilah parang 25 inci.

“Kami juga rampas satu beg kecil yang ada 6 MyKad Malaysia, satu kad Indonesia dan satu lesen vokasional milik individu lain,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

Tambah beliau, semakan ke atas kesemua dokumen pengenalan diri yang dirampas mendapati ia adalah milik individu lain yang pernah membuat laporan polis kerana menjadi mangsa pecah rumah samun dan curi dalam kenderaan.

“Dengan tangkapan dua suspek ini, polis percaya kita telah menyelesaikan setakat ini 14 kes samun di daerah ini.

“Mereka akan direman hari ini dan akan disiasat dibawah 457 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette