Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani hadir pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR: Bukit Aman hari ini mengesahkan pihaknya menerima surat peringatan daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) yang meminta semua agensi kerajaan berhati-hati dengan risiko serangan siber semasa penularan wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peringatan tersebut turut menasihatkan agensi kerajaan berhati-hati ketika menggunakan aplikasi video dalam talian, Zoom.

“Untuk makluman, aplikasi Zoom ini merupakan aplikasi peribadi yang boleh boleh dimuat turun secara percuma. Setakat ini, PDRM tidak menggunakan aplikasi Zoom untuk sidang video

“Saya difahamkan, aplikasi ini popular untuk kelas-kelas dalam talian.

“Lagipun saya pun kenal mengenai kewujudan aplikasi Zoom daripada cucu saya. Cucu saya dengan tadika dia gunakan Zoom..kali pertama saya lihat dua hari lepas di rumah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai surat Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir yang memaklumkan mengenai ancaman serangan siber ke atas agensi kerajaan semasa tempoh Perintah Kewalan Pergerakan (PKP).

SEmentara itu, Acryl mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati ketika melakukan transasi atas talian dan tidak terperangkap dengan panggilan telefon yang meragukan.

“Ingat, tidak ada agensi kerajaan, mahkamah atau bank-bank berurusan melalui telefon.

“Telefon hanya digunakan untuk temujanji dan sebarang urusan dilakukan di pejabat. Bahkan, tidak ada urusan rasmi dari agensi kerajaan yang meminta nombor akaun, kad pengenalan, dan kata laluan peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette