Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menimbang semula keputusan untuk tidak memberikan sebarang penangguhan atau moratorium kepada peminjam bagi perumahan sektor awam.

Gesaan itu dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) apabila mahu pertimbangan dibuat untuk tiga bulan bermula, April hingga Jun tahun ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penanguhan ini boleh diberi secara pilihan bagi mereka yang memerlukan dan isi rumah mempunyai lebihan pendapatan untuk diguna pada masa kecemasan ketika ini.

“Adalah tidak adil untuk LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) menggunakan alasan penjawat awam menerima gaji atau pencen penuh untuk menolak mentah-mentah permintaan penjawat awam bagi menangguhkan pembayaran pinjaman LPPSA.

“Walaupun semua penjawat awam menerima gaji dan pencen penuh ketika ini, situasi semasa yang melanda negara ketika ini disebabkan penularan wabak Covid-19 telah mengganggu rutin kerja dan menjejaskan pendapatan isi rumah penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, harus diingat bahawa tidak semua pasangan penjawat awam turut sama-sama bekerja di sektor kerajaan kerana ada dalam kalangan pasangan merupakan suri rumah sepenuh masa, bekerja sendiri seperti penjaja kecil serta bekerja di sektor swasta yang mungkin turut terjejas pendapatan mereka.

Ujarnya, dalam hal tersebut, kumpulan B40 turut terkesan kerana mereka tidak mempunyai pasangan yang bekerja kerajaan dan ada antara pasangan mereka merupakan pekerja swasta yang turut terjejas pendapatannya.

Hari ini, LPPSA memaklumkan pembayaran balik ansuran bulanan bagi perumahan sektor awam berjalan seperti biasa berikutan keputusannya untuk tidak memberikan sebarang penangguhan atau moratorium kepada peminjam.

LPPSA berkata, pihaknya yakin kebajikan penjawat awam telah cukup terjaga dan tiada keperluan buat masa ini untuk memberikan penangguhan tersebut.

Malah katanya, penjawat awam dan pesara kerajaan juga masih tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk kewajipan bayaran balik pembiayaan perumahan LPPSA. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Macam lah rakyat negara ini hanya penjawat awam…
    Mengapa kerajaan hanya menjaga dan mementingkan golongan ini dikala semua rakyat menderita kerana PKP Covid-19. Penjawat awam mempunyai gaji bulanan tetap dan masih diberi keutamaan menerima bantuan PKP kerajaan.
    Masih ramai diluar sana yg bergaji hari dan hilang punca pendapatan kerana PKP….

  2. Ya betul…aku antara peminjam wang AEON CREDIT,.Dan aku hanya dapat tahu tempoh pembayaran balik d tangguh pada MAC 2020 sahaja..Selepas ini normal,jika tak boleh bayar maka akan kena penalti.Kita tahu AEON CREDIT ini AH LONG berlesen tapi itu saja cara kelayakan kita boleh pinjam untuk gaji RM1000-RM2000..
    Jadi,kenapa kerajaan tak campur tangan soal ini.Aku tak bekerja sekarang sebab Covid 19,gaji basics saja masuk tak sampai RM800 sebulan..Cukup untuk makan saja.

Comments are closed.