Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa membuat membuat pemeriksaan kesihatan para pekerja asing di tapak-tapak pembinaan sekitar ibu negara.

Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Dr Tan Yee Kew berkata, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac yang lalu, seluruh tapak pembinaan menghentikan operasi.

Keadaan ini sekaligus mengakibatkan ramai pekerja asing yang terkurung dalamĀ  penempatan sementara di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemantauan di kawasan terbabit perlu dilakukan khususnya berkaitan tahap kebersihan, kerana dikhuatiri tempat tinggal pekerja asing di tapak binaan berpotensi menjadi penyumbang penularan wabak Covid-19.

“Saya juga faham menjadi tanggungjawab pihak majikan untuk menjaga kebajikan serta keselamatan pekerja-pekerja mereka sepanjang PKP dikuatkuasa. Namun langkah-langkah proaktif juga harus diambil oleh pihak kerajaan terutama DBKL bagi memantau semua tapak pembinaan di sekitar Kuala Lumpur khasnya di Wangsa Maju.

“Jika kita gagal memantau tapak-tapak pembinaan ini, saya yakin ianya bakal menyumbang kepada penularan wabak Covid-19 ini dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kenyataannya, Tan turut mencadangkan DBKL dan pihak berkuasa yang berkaitan memastikan pihak majikan menjaga kebajikan pekerja yang tinggal di tapak pembinaan dalam masa yang sama memastikan kesemuanya mematuhi PKP.

“Ini bukan sahaja atas sebab kemanusiaan tetapi juga bagi mengelakkan kes kecurian jika bekalan makanan mereka terputus.

“Pihak majikan mesti memastikan pekerja-pekerja mereka mematuhi semua arahan ketika PKP dilaksanakan terutama yang melibatkan kesihatan dan keselamatan pekerja di tapak pembinaan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette