Lensa MG

KUALA LUMPUR – Separuh atau 52.6 peratus responden yang menyertai Kaji Selidik Khas Kesan Covid-19 terhadap Ekonomi dan Individu (Pusingan 1) menyatakan sangat terkesan dari segi kewangan manakala hanya 6.2 peratus yang menyatakan kurang terkesan.

Kaji selidik yang melibatkan seramai 168,182 responden berumur 15 tahun ke atas itu dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia secara atas talian bermula 23 Mac hingga 31 Mac lalu.

Daripada jumlah tersebut majoriti menyatakan tidak bersedia sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Hanya pekerja-pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan multinasional sahaja menyatakan bersedia sekiranya tempoh PKP yang sepatutnya tamat 14 April ini dilanjutkan lagi.

Berdasarkan survei, hampir separuh iaitu 46.6 peratus responden yang bekerja sendiri menyatakan kehilangan pekerjaan dan dianggarkan 9 daripada 10 responden yang masih bekerja mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa.

Dari segi simpanan kewangan, lebih daripada dua per tiga atau 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi bagi tempoh kurang daripada satu bulan.

Hanya 6.2 peratus responden menyatakan kurang terkesan berbanding 52.6 peratus responden yang menyatakan sangat terkesan dari segi kewangan.

Tempoh bekerja turut mempengaruhi simpanan kewangan di mana sebanyak

Sejumlah 69.7 peratus yang telah bekerja dalam tempoh kurang daripada setahun menyatakan simpanan kewangannya bertahan kurang daripada sebulan.

Manakala 11.4 peratus yang bekerja 21-30 tahun dan 11.7 peratus yang bekerja lebih daripada 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga 4 bulan.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin, dapatan daripada kaji selidik tersebut diharap dapat membantu kerajaan dan rakyat untuk menangani kesan Covid-19 terhadap ekonomi dan pekerjaan.

“Analisis yang dikongsikan adalah berdasarkan kepada responden yang menyertai survei khas ini dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.

“Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan COVID-19 di Malaysia dan ia bukanlah statistik rasmi.

“Namun, ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya, dapatan kaji selidik khas itu turut menunjukkan sektor Pertanian dan Perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain kesan daripada COVID-19, masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 15 peratus.

Bagi sektor pertanian, 33.0 peratus pekerja di sub sektor perikanan melaporkan kehilangan pekerjaan manakala di Pertanian & Perladangan sebanyak 21.1 peratus.

Bagi sektor perkhidmatan, pekerja di sub sektor Perkhidmatan Makanan & Minuman yang kehilangan pekerjaan merangkumi 35.4 peratus diikuti sub sektor Pengangkutan & Penyimpanan dengan 18.7 peratus, tambahnya.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Alasan tk masuk akal kalau pkp di lanjutkan ada ramai yg tk sedia…yg tk sedia tu adalah mereka yg berfikiran negitif…ayoh lah bro..kpd yg muslim dah nak masuk bulan puasa pun nk risau apa pasal makanan..dlm bln puasa ni kitakan di ajar utk berlapar dan waktu berbuka pun jangan lah nk makan sampai nak pecah perut…nak fikir pasal raya?..apa sangat lah nak berhari raya klau nyawa terancam.berpuluh-puluh tahun kita rasa gembira..tiba kita di uji hanya sedikit waktu sudah hilang kesabaran..ingat ini baru yg sedikit..klau di panjang kan umur bnyk lagi yg bekal kita hadapi diakhir zaman in…semoga kita ditetapkan iman..amin.

Comments are closed.