Gambar Hiasan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kedai gunting rambut, cermin mata, dobi, hardware serta kedai barangan elektrik dan elektronik merupakan antara perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkhidmatan bagi kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai cermin mata dalam pemborongan dan peruncitan sahaja dibenarkan beroperasi.

Bagi kedai dobi perkhidmatan penuh dan bukannya layan diri manakala perkhidmatan gunting rambut asas sahaja boleh dibuka.

Syarikat yang senaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula pukul 9 pagi Isnin ini secara atas talian di laman sesawang, www.miti.gov.my.

Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.

Menteri Pergadangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kebenaran operasi itu dilakukan selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta kementerian dan agensi lain yang berkaitan.

Menurut Azmin, pihaknya telah memperhalusi sektor-sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi berdasarkan beberapa pertimbangan seperti tahap kepentingannya di dalam rantaian bekalan global (global value chain atau GVC) dan eksport negara.

Katanya langkah itu adalah untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport melalui aktiviti ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah yang tinggi, impak ke atas kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan dan jumlah tenaga kerja yang terlibat.

“Langkah ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 Ke Atas Ekonomi dan Pasaran Buruh.

“Jawatankuasa Khas Kabinet ini telah membentangkan beberapa
cadangan kepada Jemaah Menteri pada 6 dan 8 April 2020 hasil dari pembentangan oleh MITI, Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Negara.

“Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohamed Azmin, syarikat yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain pematuhan kepada syarat-syarat dan garis panduan yang diperketatkan ini, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa.

“Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta semasa,” ujarnya.

Berikut adalah senarai sektor yang dibenarkan beroperasi:

Industri Automotif
(terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan).
Industri Mesin dan peralatan
Industri Aeroangkasa
Projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan
(i) Projek di mana Kontraktor G1–G2 sebagai kontraktor utama
(ii) Projek yang telah disahkan mencapai kemajuan fizikal 90% ke atas
(iii) Kerja-kerja terowong
(iv) Kerja-kerja penyelenggaraan
(v) Kerja-kerja cerun
(vi) Kerja-kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak
(vii) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak
(viii) Kerja-kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan bahaya
(ix) Projek bangunan dengan 70 IBS score ke atas
(x) Projek pembinaan dengan fasiliti/ kemudahan tempat tinggal untuk pekerja seperti Kuarters Pekerja Berpusat atau kem pekerja
(xi) Perkhidmatan profesional yang terlibat dalam industri pembinaan termasuk arkitek, jurutera perancang bandar, juru-ukur tanah, juru ukur bahan, pengurus projek, pengurus fasiliti dan lain-lain berkaitan.
Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D)
– (hanya terhad kepada: perkhidmatan berkaitan guaman; perkhidmatan berkaitan minyak & gas; aktiviti-aktviti R&D berkaitan COVID19; makmalmakmal ujian bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja.
 Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada registered Traditional and Complementary Medicine or TCM practitioners)

 Perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan.
 Perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja).
 Perkhidmatan dobi (full service dan bukan layan diri). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kedai makanan ternakan baja dan racun rumpai tak ada dalam senarai ke. ini menteri bengong banggap dah. ikan sangkar dah habis pelet nak makan apa. kena lepas kesungai lah. atau tangkap lelong murah .

Comments are closed.