Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjalan untuk membuat saringan ke atas penduduk Selangor Mansion dan Malayan Mansion susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada hari ke- 23 berikutan penularan wabak Covid-19 di Masjid India, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Kemuncak jangkitan wabak Covid-19 mungkin telah berakhir pada minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan penurunan berterusan kes positif virus itu sepanjang minggu lalu.

Katanya, ia sekaligus menafikan ramalan firma JP Morgan &Co, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang berlandaskan andaian bahawa kes positif Covid-19 akan meningkat ke tahap kemuncak pada 14 April ini.

Bagaimanapun Noor Hisham berkata, ramalan pihaknya adalah berdasarkan data harian kes pesakit Covid-19 yang dikumpul dan direkodkan yang mana ia menunjukkan stabil dan terkawal ketika ini.

“Kami tidak nampak sebarang penularan secara meluas dan pada minggu lalu, mungkin mencapai kemuncak.

“Ini kerana kita sekarang boleh melihat bahawa kes yang diterima (positif) agak semakin berkurangan.

“Maka ia adalah satu petanda yang baik untuk kita menunjukkan kita sedang bergerak dalam landasan yang betul dalam memerangi rantaian Covid-19,” katanya pada sidang media harian penularan wabak Covid-19 hari ini.

Noor Hisham menambah, kadar jangkitan yang dikenali sebagai “R nought” atau “R0” Covid-19 di Malaysia telah mengecil berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menjelang 14 April ini, kita menjangkakan bahawa R0 ini akan turun lagi mencecah kadar nisbah 0.9 iaitu ataupun sifar jangkitan.

“Ini bermakna R0 dari 0.9 bermakna bahawa kes positif hanya akan menunjukkan kadar jangkitan kurang daripada seorang yang jelas menunjukkan kejayaan pasukan perubatan KKM mengawal jangkitannya secara meluas menerusi keberkesanan PKP memutuskan rantaian setakat ini,” tegasnya.

Ujarnya, faktor berkenaan mendorong KKM menasihati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan PKP sehingga 28 April ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Salute Dato Nor Hisham dan semua Frontliner , anda berjihad Fi Sabillillah . Anda semua insan terpilih ..

Comments are closed.