PUTRAJAYA – Seramai 80 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi berikutan sekatan perjalanan dan penggantungan penerbangan oleh kerajaan Arab Saudi akibat penularan wabak Covid-19 akan pulang ke tanah air tengah malam ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan Arab Saudi akan menaja sebuah pesawat khas, Saudi Arabian Airlines, untuk membawa pulang rakyat Malaysia.

“Pesawat dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.30 tengah malam nanti.

“Selain 80 rakyat Malaysia, turut akan pulang menaiki pesawat ini ialah empat rakyat Brunei, seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat Singapura serta dua rakyat Syria yang bertaraf penduduk tetap.

“Semua ini ditaja oleh kerajaan Arab Saudi menggunakan pesawat khas Saudi Arabian Airlines,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hishamuddin mengucapkan penghargaan yang kepada kerajaan Arab Saudi kerana membantu rakyat Malaysia yang turut berdepan krisis Covid-19.

“Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, barisan kepimpinan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat Kerajaan Arab Saudi.

“Khususnya Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas perkenan baginda untuk membantu Malaysia pada saat getir ini.

“Terima kasih juga kepada Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud yang amat prihatin demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dijaga dengan baik,” ujarnya.

Beliau turut mengimbas kembali sidang video yang diadakan tiga minggu lalu yang mana Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud menyuarakan tekad untuk berjuang bersama-sama Malaysia sepanjang krisis Covid-19.

“Perkara ini sudah membuktikan betapa akrabnya hubungan Malaysia dan Arab Saudi. Melalui Kementerian Luar, kita akan pastikan hubungan baik yang telah lama terjalin ini akan terus utuh dan berkekalan,” katanya. – MalaysiaGazette