Oleh: Mohd. Shah Abdullah
KETIKA ini pandemik Covid-19 sudah benar-benar menular ke pelosok dunia. Hampir semua benua dan kebanyakan negara sudah ditembusi virus ini. Tiada kekecualian serangan virus ini kepada makhluk bernama manusia walaupun ia dikatakan berpunca dari haiwan eksotik.
Kini tahulah kita virus yang tidak nyata, tidak nampak di mata berganda lebih berbahaya kemusnahannya berbanding kekejaman manusia sendiri!
Sekitar tahun 1998 Yayasan Penataran Ilmu menterjemah dan menerbitkan kembali karya intelektual dan pemikir, Hamish McRae berjudul “Dunia Pada Tahun 2020”.
Ketika menulis buku ini, profil McRae ialah Profesor di London School of Economics, University of London. Profil ini jelas menunjukkan wibawa dan prestij kesarjanaan beliau dengan menulis bukan berdasarkan mitos, agakan dan andaian semata-mata.
Edisi asal McRae berjudul “World in 2020”, diterbitkan oleh HarperCollins sekitar tahun 1995. Karya McRae diterjemahkan oleh Harun Bin Mohd Arabee. Barangkali judul karya ini di dalam bahasa Melayu masih boleh diakses di Perpustakaan Negara atau di mana-mana perpustakaan awam yang masih menyimpan naskhah ini.
Buku ini sudah berusia 25 tahun jika mengambil kira tarikh terbit naskhah asal oleh pengarangnya. Penulis juga tidak pasti sama ada Yayasan Penataran Ilmu masih bergerak cergas di dalam penghasilan karya-karya bermutu edisi cetak terutama di dalam situasi berdepan dengan rempuhan hebat media baharu yang memudahkan berita, maklumat dan bahan bacaan diakses secara dalam talian.
Memandangkan judul buku ini “Dunia Pada Tahun 2020”, penulis tersentak bila kembali menemuinya di susunan rak buku ketika mencari-cari bahan bacaan mengisi waktu di dalam suasana perintah berkurung ini.
Umumnya, buku ini menyentuh ramalan McRae perihal apa bakal berlaku kepada tiga benua berpengaruh, iaitu Amerika Utara, Eropah, dan Asia pada tahun 2020.
Beliau membuat pertimbangan teliti berasaskan politik, ekonomi dan sosial, maka dunia pada tahun 2020 akan menjadi sesuatu yang mungkin tidak terfikir oleh kebanyakan orang. Hari ini kita berada di dalam tahun 2020. Apa kata-kata dan ramalan McRae.
Biarlah penulis menyalin beberapa petikan kata McRae di dalam bukunya ini dan bersama-sama kita memikirkannya. Konteks petikan ini harus difahami sekarang, iaitu tahun 2020.
1.Suatu bahaya yang jelas ialah berlakunya bencana alam atau alam sekitar. Pada suatu tahap dalam tempoh 25 tahun yang akan datang, ada kemungkinan besar malapetaka seperti itu akan berlaku. (halaman 384)
2.Kemungkinan besar adalah gabungan bahaya yang ketiga dan yang keempat, iaitu bencana alam dan ketegangan sosial. Sekiranya suatu bencana alam melanda sebuah bandar Amerika yang sudah pun tegang, dan bencana itu disalah urus dengan serius, maka suatu ledakan sosial boleh berlaku. Permukaan sebuah bandar seperti Los Angeles akan berubah untuk selama-lamanya. (halaman 385)
3.Mendasari hal ini ialah realiti pembiakan nuklear. Dunia telah menjadi suatu tempat yang lebih merbahaya untuk didiami, kedua-duanya kerana kecelakaan yang tidak dapat dielakkan, dan juga kerana mungkin berlakuknya suatu peperangan nuklear. (halaman 385)
4.Satu lagi jenis ancaman datangnya daripada virus pembunuh. Banyak yang sudah pun diketahui sekarang tentang AIDS. Pada tahun 2020, mungkin ada atau pun tiada ubat penyembuh – mungkin tiada. (Halaman 389)
5.Bagaimanapun, yang paling merunsingkan pemikiran bukanlah AIDS dalam bentuk sekarang akan terus menular, tetapi virus yang menyebabkannya itu (sic) bertukar kepada sesuatu yang lebih mudah dijangkiti. Penciptaan suatu penyakit baru oleh alam pada ketika manusia memikirkan yang ia hampir berjaya menghapuskan kebanyakan penyakit lama membawa suatu khabar yang sangat menggerunkan. Sekiranya AIDS yang disebabkan oleh suatu virus yang sukar dijangkiti, boleh secara mendadak meledak ke seluruh dunia, mungkinkah ada virus-virus lain di luar sana yang boleh mengikuti jejak AIDS dengan lebih membinasakan.
Nah, ketika fakta-fakta nombor 1, 2, dan 3 sahih kini berupa ancaman kepada kehidupan dan habitat manusia sejagat, fakta-fakta nombor 4 dan 5 kini suatu kebenaran yang sedang kita hadapi.
Kini satu dunia sedang berdepan dengan virus bernama Corona Virus dan kini dikenali Covid-19.
Nyata setakat ini belum ada vaksin penyembuh ditemui bagi menangani atau merawat pandemik ini terhadap pesakit meskipun kajian saintifik dan kerja makmal masih giat dilakukan.
Hanya kita dinasihati melakukan penjarakan sosial, memakai penutup muka, kerap membasuh tangan dan menggunakan bahan pencuci kimia serta elakkan menganjurkan atau menghadiri perhimpunan ramai manusia.
Langkah terkini seperti dilakukan Malaysia ialah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan duduk di rumah (lockdown) sebagai strategi bagi memutuskan rantaian virus misteri penuh berbahaya ini.
McRae menyampaikan satu amanat jelas seperti katanya, “Tidak terlintas di fikiran orang walaupun dalam mimpi-mimpi mereka yang paling ngeri, bahawa suatu penyakit baru seperti AIDS boleh merebak ke seluruh dunia.
Kini sungguh pun boleh diandaikan banyak kemajuan telah dibuat menentang AIDS dalam bentuknya sekarang, tidak ada jaminan bahawa virus tersebut tidak akan bertukar bentuknya berkali-kali.
Mungkin AIDS akan kembali dalam bentuk yang lebih membinasakan. Kemunculan semula penyakit seperti tuberkulosis yang disangkakan telah dihapuskan untuk selama-lamanya patut membuatkan kita merenung sejenak.
Kita jangan menjadi terlalu angkuh untuk mengandaikan bahawa dengan menumpukan sumber-sumber kepada sesuatu masalah boleh menyelesaikan masalah itu.” (halaman 390)
Adakah apa yang ditulis McRae kira-kira 25 tahun lalu satu kebetulan dengan malapetaka yang sedang kita hadapi? Kita tentu boleh memberikan tafsiran dan andaian terhadap pertanyaan ini, tetapi ramalan beliau kini nyata!
Tentu sekali kejadian pandemik Covid-19 memberi kesedaran menyeluruh terhadap kehidupan manusia. Keangkuhan, kezaliman, ketidakadilan, penyelewengan, nafsu serakah dan tabiat biadap manusia memberi kesan terhadap kehidupan insan dan habitat yang kita huni.
Bukankah asalnya virus ini akibat tabiat buruk sesetengah manusia memakan haiwan liar dan bertukar kepada kuman paling berbahaya dan beralih menjadi wabak atau pandemik.
Memetik untaian McRae, “Jika dunia ini nampaknya berbahaya pada masa sekarang, ia akan nampak lebih daripada itu dalam tahun 2020.”
Adakah kita tidak di dalam bahaya sekarang? Impak atau kesan Covid-19 terhadap kehidupan manusia, dari segi ekonomi, pekerjaan, sosial, politik, kebudayaan, pendidikan dan cara olahan berfikir kita kini dalam bahaya.
Kata ahli fikir Patocka, “mulai sekarang masa depan merupakan masalah, dan akan tetap demikian seterusnya.” Kita berdepan dengan suasana ketidakpastian.
Wajar jika ada khalayak yang membaca coretan ini mentelaah kembali karya McRae. Beliau membuat pertimbangan, andaian dan ramalan berdasarkan analisis fakta dan penelitian ilmiah sehingga terhasilnya “Dunia Pada Tahun 2020.”
Tulisan ini diakhiri dengan memetik ungkapan McRae pada baris terakhir bukunya, “Semakin kita memahami perubahan dunia ini dalam saat-saat menjelang tahun 2020, semakin besar lagi peluang yang ada pada kita untuk memelihara masa hadapan.” Beliau menaruh optimisme tetapi seluruhnya bergantung atas sikap manusia sendiri untuk berubah ke arah kebaikan sejagat!
Penulis, Mohd. Shah Abdullah adalah Ketua Jabatan Komunikasi/Pensyarah Kanan Manipal International University (MIU), Nilai. Beliau memberi tumpuan di dalam bidang Kewartawanan, Pengurusan Krisis serta Undang-Undang Media dan Etika.