Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal memantau kenderaan yang masu pada sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 masuk hari ke 24 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2020

PETALING JAYA – Bagi merancakkan lagi penguatkuasaan sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Op Covid Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya buat kali pertama dibantu oleh 84 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Mereka ditugaskan dalam sekatan jalan di Jalan PJU7/1, Mutiara Damansara pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya sudah menggunakan kekuatan maksimum membabitkan 930 pegawai dan anggota khusus untuk penugasan sekatan jalan raya di daerah ini sejak 18 Mac lalu.

“Kami sebenarnya sudah menggunakan tenaga pegawai dan anggota kami di daerah ini sehabis baik, setakat ini seramai 930 pegawai dan anggota ditugaskan untuk sekatan ini.

“Jadi FRU telah diperoleh dan kami daerah pertama di negara ini menerima bantuan dari FRU dan diturunkan bertugas hari pertama ini (Jumaat).

“Tapi ingat jenayah masih berlaku dan kita kena kawal ketenteraman awam di PJ lagi, itulah dengan bantuan 80 anggota empat pegawai FRU di tugaskan ke lapangan di lima sekatan jalan termasuk dua sekatan baharu di Jalan PJU7/1 di kedua-dua hala di sini.

“Saya rasa JPJ juga akan turun bantu kami, jadi saya akan buka lagi sekatan jalan raya dan kita masih dalam kajian (jumlah sekatan akan datang) lagi, ” katanya kepada pemberita selepas memantau sekatan jalan bermula 8 pagi tadi.

Beliau amat mengalu-alukan kehadiran mereka membantu penugasan sekatan jalan raya di daerah ini sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, keadaan lalu lintas di lokasi sekatan jalan raya baharu di Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara ketika ini masih terkawal dengan kebanyakan kenderaan melalui laluan berkenaan adalah membabitkan individu berkhidmat dalam perkhidmatan penting.

Justeru beliau juga memaklumkan pihaknya mengeluarkan sembilan kompaun bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah berkenaan setakat malam tadi.

“Semua sembilan individu berkenaan membabitkan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana mereka memberi alasan remeh berkumpul keluar bersama rakan minum teh dan sebagainya.

“Lagipun majoritinya dikenakan kompaun pada waktu malam selepas didapati keluar jam 12 malam dengan alasan mahu menghantar barang,” tegasnya.

Malah beliau juga menyatakan kelegaan setakat ini semua anggotanya selamat dan bebas jangkitan Covid-19 dan beberapa anggotanya yang disyaki pula telah dikesan negatif.

Ditanya mengenai pemeriksaan ke atas penghantar makanan motosikal e-hailing yang dikaitkan membawa dadah dan rokok seludup, beliau berkata, pihaknya sentiasa memeriksa setiap penghantar makanan e-hailing dan terdapat satu kes melibatkan dadah ditahan semalam.

“Kami sedar dan sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas mereka (penghantar makanan e-hailing). Ada kes cuma tak boleh dedahkan strategi kami kepada anda (media) sebab itu rahsia, harap mereka berhati-hati,” tegasnya.-MalaysiaGazette