Zarina Anjoulie.

KUALA LUMPUR – Usahawan, pelakon dan model, Zarina Anjoulie Lavocah telah melantik sebuah firma perhubungan awam (PR) dan komunikasi krisis sebagai tindak balas bagi melindungi reputasinya setelah ada pihak tertentu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif, Saiful Ridzuan Public Relations and Communications, Saiful Ridzuan mengesahkan firma beliau telah dilantik oleh Zarina.

Saiful adalah seorang eksekutif korporat yang pernah menguruskan lebih dari 200 jenama glam, mewah dan terkenal seperti Ermenegildo Zegna, Chanel, Mont Blanc, Estee Lauder
dan Christian Dior sebelum membuka firma perhubungan awam beliau pada tahun 2012.

Beliau juga pernah bertugas di sebuah syarikat gas dan minyak terbesar di dunia di bahagian perhubungan awam di ExxonMobil.

Saiful mempunyai hampir 20 tahun pengalaman dalam bidang komunikasi dan strategi perniagaan termasuk pengalaman bekerja di Malaysia, Brunei, Singapura dan Itali.

“Firma perhubungan kami mengesahkan bahawa kami telah menandatangani perjanjian dengan usahawan, pelakon dan model, Zarina Anjoulie Lavocah pada hari ini,” katanya.

Ridzuan menambah, pihaknya akan membantu Zarina melalui fasa seterusnya kerana terdapat beberapa individu telah memfitnahnya menerusi aplikasi pesanan baru-baru ini.

Dakwa beliau, individu-individu tersebut telah merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zarina dan telah memfitnah dan menuduh usahawan tersebut menghasut orang ramai untuk menyebarkan kebencian.

Bagaimanapun, Zarina secara tegas menafikan semua tuduhan tidak berasas tersebut.

Tindakan tersebut diambil oleh Zarina berikutan laporan media baru-baru ini yang melaporkan bahawa ada beberapa individu tertentu telah membuat laporan polis menuduh dan memfitnah dirinya yang konon telah menyebarkan kebencian pada orang
ramai melalui video yang dimuat naiknya di platform media sosial.

Dalam video tersebut, Zarina hanya berkongsi pandangannya  bahawa kerajaan harus memberi keutamaan kepada orang biasa yang paling memerlukan bantuan pada waktu kritikal ketika ini. – MalaysiaGazette