Gambar hiasan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan seorang bekas timbalan menteri berkaitan penyebaran berita palsu melalui sebuah video di laman Facebooknya, kononnya berlaku situasi luar kawalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

SKMM, dalam kenyataan hari ini, berkata rakaman berkenaan diambil dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada jam 9 malam tadi.

Satu unit telefon dan kad SIM turut dirampas daripada Ahli Parlimen tersebut untuk membantu proses siasatan, kata SKMM.

“Beliau disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

SKMM menegaskan tindakan memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah.

Suruhanjaya itu berkata pihaknya dan PDRM memantau mana-mana pihak termasuk orang kenamaan, pengamal media dan media dalam talian yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

SKMM berkata sekiranya ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita, orang ramai boleh melayari portal Sebenarnya.my atau pautan telegram https://t.me/sebenarnyamy.

Menurutnya, maklumat mengenai penularan berita palsu berkaitan COVID-19 turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Memang ternyata Dia ni n geng2 Ph nak cari Salah kerajaan saja..tapi tuhan tu maha adil..sekejap saha Dia tutup pemikiran dengki maklum ni terkeluar la kebodohan dia..

Comments are closed.