Joe Biden

WASHINGTON – Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Sabtu memenangi pengundian Parti Demokratik di negeri Alaska yang diadakan secara pos akibat pandemik COVID-19, lapor agensi berita Sputnik memetik pengumuman parti.

Biden menguasai 55.3 peratus undi manakala Senator Bernie Sanders yang menarik diri pada Rabu lalu, mengumpul 44.7 peratus.

Negeri itu yang diperuntukkan 15 delegasi, terpaksa menangguhkan undian daripada 4 April dan membatalkan undian di pusat pengundian akibat COVID-19.

Menurut televisyen CNN, Parti Demokrat Alaska menghantar 71,000 kertas undi kepada ahli Demokrat di negeri itu dan pada tarikh akhir pengundian pada Jumaat, hanya 19,000 mengundi.

Pengundian menerusi pos itu bermakna ramai ahli Demokrat mengundi sebelum Sanders mengumumkan menarik diri.

Biden kekal sebagai calon tunggal Parti Demokrat dalam usaha parti itu menumpaskan penyandang jawatan, Presiden Donald Trump.

Konvensyen Demokrat Kebangsaan iaitu acara untuk mengumumkan calon pilihan raya presiden secara rasmi, ditunda daripada pertengahan Julai hingga Ogos disebabkan wabak itu.- BERNAMA