Razali Ab Malik

KUALA LUMPUR – Bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ketiga dari 15 hingga 28 April ini, kerajaan Negeri Sembilan juga telah mengambil keputusan menangguhkan operasi perkhidmatan gunting rambut, kedai cermin mata dan kedai barangan elektronik.

“Keputusan ini diambil bagi melindungi aspek keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini agar wabak Covid-19 tidak membentuk kluster baru.

“Kerajaan Negeri Sembilan akan memaklumkan sebarang keputusan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik dalam kenyataan media hari ini.

Justeru katanya, kerajaan negeri juga menerima laporan bahawa terdapat peningkatan bilangan kenderaan terutama di jalan-jalan utama bandar raya Seremban serta bilangan penumpang yang melebihi seorang di dalam kenderaan empat penumpang.

“Diingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil bagi mereka yang gagal mematuhi arahan PKP di negeri ini.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan kesihatan dan keselamatan yang bertugas tanpa henti dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Marilah kita bersamasama memerangi wabak Covid-19 dengan memainkan peranan masing-masing,” tegas Razali. -MalaysiaGazette