Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah menipu penjualan topeng hidung dan mulut di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020

PETALING JAYA – Seorang pemandu lori, Yeoh Joo Leong, 24, mengaku tidak bersalah menipu penjualan topeng muka dalam laman media sosial, Facebook.

Beliau yang dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini memohon dibicarakan selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

Joo Leong yang berasal dari Kampung Bukit Perah, Sri Cheeding, Banting hadir ke mahkamah pada pukul 8.30 pagi bersama bapanya selaku penjamin kelihatan tenang di kandang tertuduh semasa pertuduhan dibacakan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, Joo Leong pada 6 Februari dan 7 Februari lalu bertempat di Jalan Layang-Layang 2, Puchong Jaya Industrial Park, Puchong telah didapati dengan curang menerima wang berjumlah RM18,870 kepunyaan Wong Foo Ei, 25, ke dalam akaun Maybank miliknya yang mana mengetahui wang itu bukan miliknya.

Tertuduh diwakili peguambela, Datuk Suraj Singh manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Suraj bagaimanapun mengemukakan rayuan kepada majistret supaya menurangkan wang jaminan atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,800.

Katanya, Joo Leong telah memberi kerjasama semasa direman polis untuk siasatan dan tertuduh juga tidak mempunyai sebarang kesĀ  sebelum ini manakala bapanya bekerja sendiri.

Nor Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Jun 2020 sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Sebelum ini tertuduh didakwa telah menipu dalam urusan penjualan topeng muka menerusi iklan di media sosial Facebook atas nama sebuah syarikat.

Mangsa diminta menjelaskan bayaran berjumlah RM18,870 ke dalam akaun Maybank yang didaftarkan atas nama syarikat yang digunakan tertuduh untuk pembelian sebanyka 408 kotak topeng muka.

Namun setelah bayaran telah dibuat, pengadu tidak dapat menghubungi talian suspek dan mengalami kerugian berjumlah RM18,870. – MalaysiaGazette