Azalina Othman Said

PETALING JAYA – Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dikhabarkan bakal mencadangkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menggantikan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Sumber daripada UMNO berkata, Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mengenai pencalonannya.

Ketika dihubungi Sinchew Daily, Azalina berkata: “Saya rasa masih terlalu awal untuk mengulas perkara ini kerana Parlimen belum bersidang.”

Azalina tidak mengesahkan atau menafikan berita mengenai pencalonannya.

Sementara itu, Kor Ming ketika dihubungi wartawan pula berkata: “saya menghormati pelantikan Parlimen dan akan setia melaksanakan tugas sehingga ada keputusan baharu.”

Memandangkan Kor Ming sudah bergelar Ahli Parlimen pembangkang, maka pertukarannya dianggap sebagai fenomena biasa.

Seorang lagi Timbalan Speaker iaitu Datuk Mohd. Rashid Hasnon telah keluar daripada PKR dan menyokong Muhyiddin.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dilaporkan bakal dikekalkan pada masa ini walaupun beliau dilihat sebagai “orang Pakatan Harapan” .

Sumber UMNO bagaimanapun berpendapat Mohamad Ariff mungkin tidak dapat melengkapkan satu penggal secara penuh bergantung sama ada Perikatan Nasional mahu menggantikan beliau dengan “orang sendiri” daripada kem sama. – MalaysiaGazette