Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Sebanyak 85 kes positif baharu Covid-19 dengan satu kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes positif virus itu sebanyak 5,072 kes  dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 2,342 kes yang mana mereka telah diasingkan dan diberikan rawatan.

“Sehingga kini, seramai 56 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Malah terdapat 169 kes terbaharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,647 kes iaitu dengan kadar discaj 52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bilangan kes yang didiscaj hari ini hampir dua kali ganda kes baharu Covid-19,” katanya pada sidang media mengenai Cocid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, berikutan satu kematian hari ini, jumlah kumulatif kes kematian akibat virus maut itu meningkat kepada 83 kes, iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-83 (kes ke-4988) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia pada 21 MAC 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 6.41 pagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.