LONDON – Pemain tengah Manchester United, Juan Mata mengakui dia merindui bekas rakan sepasukam, Ander Herrera yang kini bermain untuk PSG.

Mata memberitahu terdapat perbezaan selepas Herrera meninggalkan United.

“Saya sangat merindukannya (Herrera) bukan hanya di padang, tetapi juga di bilik persalinan dan juga di luar,” kata Mata dalam laman web rasmi Manchester United.

Pada musim panas tahun lalu, Herrera memutuskan untuk meninggalkan Old Trafford.

Dia berpindah ke PSG selepas lima tahun sebagai pemain di bahagian tengah Red Devils.

Ketika di United, Herrera diketahui mempunyai hubungan baik dengan Juan Mata, David De Gea dan Sergio Romero.

Walaupun kini berlainan pasukan Mata mengakui bahawa dia masih dalam hubungan baik dengan Herrera.

Dia juga mengaku sering berkomunikasi dengan pemain tengah itu.

“Kami biasa tinggal di kawasan yang sama,kami sering berjumpa selepas sesi latihan untuk makan tengah hari atau makan malam bersama-sama.

”Kami juga sering menonton permainan bola sepak bersama-sama, jadi saya pasti merinduinya.”

“Dia seorang kawan yang sangat baik kepada saya, saya sendiri sering berkomunikasi dengannya, dan dia kini gembira tinggal di Perancis,” katanya.

Mata juga mengakui dia sekarang mempunyai watak yang dapat mengatasi kerinduannya pada Herrera.

Dia berkata bermain dengan Bruno Fernandes membuatnya teringat seolah-olah bermain dengan Herrera dalam skuad United.

“Apabila anda memahami permainan rakan sepasukan anda, maka semuanya akan menjadi menyeronokkan, contohnya apabila saya bermain dengannya [Herrera] atau dengan Bruno sekarang, anda akan selalu menjadi rugi jika anda tidak dapat bermain dengan orang-orang ini,” ujarnya.

Sejak berpindah ke Paris, Herrera boleh dikatakan bukan menjadi pilihan pemain utama.

Dia hanya mencatatkan 18 perlawanan untuk Les Parisien dalam semua pertandingan. – MalaysiaGazette