Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew bercakap pada sidang media berkenaan Ops-Covid 19 Fasa 3 hari ke-3 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2020

SHAH ALAM – Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 15 April iaitu semalam, sebanyak 2,080 laporan polis berkaitan pelanggaran perintah itu diterima di Selangor.

Menurut Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, daripada jumlah itu sebanyak 1,143 kertas siasatan telah dibuka manakala jumlah kumulatif tangkapan pula sebanyak 2,255 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 221 orang telah dituduh, 816 pula dijatuhi hukuman, 968 telah direman, 223 orang pula telah dijamin dan NFA pula membabitkan 27 orang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya telah meningkatkan jumlah SJR membabitkan 102 lokasi di semua daerah Polis Kontinjen Selangor sejak pelaksanaan PKP Fasa ke-3 yang bermula semalam.

“Pihak PDRM juga meningkatkan snap check di semua daerah Kontinjen Selangor. Sebanyak 3,474 jumlah pemeriksaan telah dilakukan dalam tempoh 24 jam.

“Dalam pemeriksaan tersebut, seramai 4,146 orang telah dinasihat dan diberi amaran,” katanya.

Sementara itu, sebanyak enam penerbangan masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direkodkan sejak semalam membabitkan 668 penumpang.

“Enam penerbangan itu ialah dari SIngapura, Doha Qatar, Hong Kong, Narita Jepun, London dan Surabaya Indonesia.

“Daripada jumlah itu, seramai 19 orang mempunyai gejala dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh, 11 orang pula transit dalam negara dan 3 lagi transit luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette