Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Terdapat dua kumpulan umur warga emas dikesan mudah menerima risiko kematian tertinggi sekiranya dijangkiti wabak Covid-19.

Dua kelompok umur yang berdepan risiko tinggi itu ialah warga emas berusia antara 55 hingga 59 tahun dan 60 hingga 64 tahun, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, perkara itu ditemui berdasarkan penelitian pihak kementerian setelah memadankan populasi bagi setiap kumpulan umur dan kadar insiden Covid-19 bagi 100,000 individu di Malaysia.

“Warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik.

“Ini merupakan satu isu global yang dihadapi oleh negara-negara yang terjejas dengan wabak ini.

“Statistik menunjukkan terdapat dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif Covid-19 berbanding kumpulan umur yang lain.

“Ia merangkumi 20 tahun sehingga 24 tahun dan juga 56 tahun sehingga 59 tahun. Ini dapat dilihat pada carta bilangan kes positif Covid-19 mengikut umur,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Bagaimanapun Noor Hisham berkata, apabila statistik bilangan kes itu dipadankan dengan populasi bagi setiap kumpulan umur, jelas dapat dilihat bahawa kadar insiden Covid-19 bagi 100,000 populasi di Malaysia adalah paling tinggi bagi kumpulan umur 55 sehingga 59 tahun dan 60 sehingga 64 tahun,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan statistik kes kematian Covid-19 yang direkodkan saban hari, Noor Hisham berkata, 62.6 peratus daripadanya adalah mewakili individu berumur 60 tahun ke atas.

Tambah beliau, sebanyak 80.7 peratus kes kematian didapati mempunyai rekod penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lain-lain.

“Didapati kadar boleh pulih dan prognosis bagi sembuh jangkitan COVID-19 adalah lebih baik sekiranya rawatan dimulakan awal, justeru amat penting bagi kumpulan warga emas mendapatkan rawatan segera.

“Ia perlu walaupun mereka hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak.

“Oleh itu, ahli keluarga bertanggungjawab untuk memastikan beberapa perkara mengenai golongan warga emas.

“Mereka perlu mendapat rawatan segera jika tidak sihat, bekalan ubatan mencukupi dan patuhi temu janji rawatan, selain mempunyai barang keperluan mencukupi,” ujarnya.

Noor Hisham menegaskan, bagi mengurangkan risiko jangkitan, warga emas menggunakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos (UMP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Ujarnya, menerusi pendekatan itu, bekalan ubat bagi penyakit berkaitan boleh dihantar terus ke rumah warga emas berkenaan, tanpa memerlukan mereka mengunjungi hospital berdekatan.

“Kita juga prihatin terhadap kesihatan warga emas yang tinggal di institusi-institusi jagaan bagi warga emas, terutama bagi institusi yang mempunyai ramai penghuni serta mengalami kesukaran mengamalkan jarak sosial yang selamat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette