PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula menggunakan kit ujian pengesanan antigen yang diperoleh dari Korea Selatan untuk mengesan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Kit ujian itu mempunyai ketepatan hampir 100 peratus dalam mengesan jangkitan berkenaan pada tubuh manusia, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kit ujian bernama Standard Q Bio-Censor itu mempunyai keupayaan sehingga 84.4 peratus dan ia mampu mengesan seramai 100 individu yang terkena jangkitan.

Menurutnya, kit ujian itu merupakan berita baik kepada KKM kerana sampel daripada kelompok sasaran tidak perlu lagi dihantar ke makmal.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 315 individu atau kira-kira enam peratus yang dijangkiti wabak COVID-19 di Malaysia ketika ini adalah kanak-kanak berusia bawah 14 tahun.

Ujarnya, 83 orang daripadanya adalah kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah, manakala, jumlah sama direkodkan bagi pesakit berumur lima hingga sembilan tahun.

“Pesakit berumur antara 10 hingga 14 tahun pula adalah seramai 149 orang, menjadikan jumlah keseluruhan kanak-kanak berusia bawah 14 tahun yang dijangkiti COVID-19 ialah 315 individu,” kata beliau. – MalaysiaGazette