KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba untuk melanjutkan kontrak pegawai perubatan, farmaseutikal dan juga pergigian.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, keputusan yang dibuat menteri itu sangat tepat dan amat dialu-alukan.
“Umum mengetahui bahawa mereka adalah antara ribuan anggota barisan hadapan yang berpenat lelah untuk memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung dan diatasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sikap profesional dan kecekapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merawat pesakit yang terkena jangkitan wabak berkenaan serta langkah mengawal penularannya telah menjadi buah mulut dan contoh teladan kepada negara lain.
“Kami ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan atas pengorbanan anggota barisan hadapan daripada KKM. Kita mesti menang dan kita akan menang melalui usaha padu bersama,” ujarnya.
Katanya lagi, DPIM menyeru agar kementerian-kementerian dan agensi kerajaan lain mengikut langkah murni yang ditunjukkan KKM untuk melanjut kontrak pekerja-pekerja dalam sektor bukan kesihatan yang lain.
Ujarnya, ramai dalam kalangan penjawat awam merupakan pegawai kontrak dan mereka tertanya-tanya akan nasib mereka.
“Harapan kami agar nasib mereka akan terus terbela dan pendapatan mereka tidak akan terputus setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dibatalkan.
“Setiap rakyat Malaysia telah memainkan peranan masing-masing dalam perang melawan wabak COVID-19 dan majoriti rakyat Malaysia akan terkesan dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan fizikal dan juga mental,” tambahnya.
Dalam pada itu, Shahir turut menyeru kementerian lain agar mendapatkan nasihat KKM sebelum dasar baru dilaksanakan ketika tempoh PKP fasa tiga berjalan.
Seharusnya pergerakan dan aktiviti terus diperketatkan agar tiada kluster baru terhasil sebagaimana yang disebut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin agar, kita menjaga sesama kita, katanyanya. – MalaysiaGazette