najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Malaysia mampu menjadi antara negara terawal bebas daripada virus Covid-19 berikutan kes baharu positif wabak itu semalamĀ  menurun dengan mendadak iaitu melibatkan 85 kes berbanding sehari sebelumnya yang mencatatkan 170 kes.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pengorbanan yang rakyat sedang hadapi ternyata kini mula membuahkan hasil.

“Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan serta bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sudah tentu menyebabkan ramai rakyat yang kecewa kerana tidak dapat menjalani kehidupan normal buat masa ini.

“Namun kita mampu membantu kerajaan melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 ini dengan terus patuh pada PKP.

“Kita perlu bersatu padu untuk membebaskan Malaysia daripada penularan wabak ini. Sama-sama kita berdoa agar urusan petugas frontliner dipermudahkan,” katanya di Facebook miliknya.

Semalam, Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malayisa, Datuk Noor Hisham Abdullah turut mengumumkan kadar sembuh juga telah meningkat daripada 49.69 peratus kepada 52.18 peratus. – MalaysiaGazette