Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew selepas sidang media berkenaan Ops-Covid 19 Fasa 3 hari ke-3 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2020.

SHAH ALAM – Sebanyak 334 tangkapan termasuk warga asing dibuat Kontinjen Polis Selangor pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ke-3 setakat jam 12 tengah malam tadi.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, kesemua tangkapan itu dibuat merangkumi sekatan jalan raya (SJR) dan pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi tumpuan.

“Tangkapan untuk fasa ke-3 sejak semalam bagi Polis Kontinjen Selangor sebanyak 334 orang tangkapan termasuk warga asing.

“Ini merangkumi tangkapan dalam SJR dan operasi-operasi snapchat yang dilakukan di beberapa lokasi hotspot termasuk pasar raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksaaan PKP bagi Fasa Ke-3 akan lebih ketat termasuk tiada lagi tawaran kompaun RM1,000.

Sebaliknya mereka yang ingkar PKP akan terus ditahan dan dihadapkan ke mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman penjara.

Dalam pada itu, Muhammad Yazid menegaskan, jumlah tangkapan pada hari pertama PKP Fasa Ke-3 itu membuktikan orang masih gagal mematuhi perintah kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Peraturan itu memang jelas cuma ketua keluarga sahaja yang boleh keluar malangnya ada lagi individu-individu yang masih berdegil.

“Sekiranya individu-individu tersebut masih lagi berdegil, agar sukar untuk kita memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak empat tangkapan telah dibuat dalam SJR di Lebuhraya Persekutuan berdekatan dengan pintu gerbang Kota Darul Ehsan.

“Untuk semalam sahaja di gerbang Kota Darul Ehsan pemeriksaan orang awam sebanyak 2,653, pemeriksaan kenderaan sebanyak 2,424 dan juga ada empat tangkapan dibuat di SJR berkenaan,” katanya.

Susulan SJR di lokasi berkenaan katanya, kesesakan yang berlaku bukan kerana SJR yang dibuat pihak polis sebaliknya membuktikan keingkaran orang ramai untuk tidak berada di rumah.

“Kita harus faham bahawa sekatan-sekatan jalan raya ini dibuat adalah untuk mencegah orang ramai daripada keluar berleluasa dan pencegahan itu untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

“Kita mohon kepada rakyat Selangor agar lebih berdisiplin dan bersabar, biarlah kita sama-sama berusaha berganding bahu dalam perkara ini agar ancaman Covid-19 ini akan dapat diputuskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast