Gelagat sebahagian murid sekolah selepas tamat waktu sekolah bagi menyambut musim cuti penggal pertama persekolahan ketika tinjauan Lensa MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MAC 2018.
foto hiasan

1. Saya harus mengakui bahawa membuat keputusan penting dalam waktu wabak pandemik luar biasa sebegini sangatlah sukar.

2. Demikian juga dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membatalkan UPSR dan PT3 serta penangguhan semua peperiksaan utama. Ia pasti keputusan yang telah melalui pertimbangan sebaiknya.

3. Walau pun begitu, saya mempunyai perspektif yang sedikit berbeza. Saya berpandangan bahawa KPM wajar mengemukakan ‘Exit Strategy’ yang lebih komprehensif dengan menonjolkan pelbagai penyelesaian kreatif.

4. Channel News Asia pada 15 April melaporkan bahawa ‘intermittent circuit breakers’ mungkin jalan keluar yang penting untuk dipertimbangkan oleh semua Kerajaan. Ini bermakna, Perintah Kawalan Pergerakan ini, tidak akan berkesan dengan hanya sekali pelaksanaan. Ia mungkin perlu dilakukan secara berkala dengan menggunakan ‘switch on and switch off strategy’.

5. Mengambil kita senario ini, kita mesti ‘exhaust’ semua cara dan alternatif sebelum kita membatalkan UPSR dan PT3. Kita harus menerima hakikat bahawa, walaupun perintah kawalan pergerakan akan menjadi kelaziman, pembelajaran, pentaksiran dan penilaian juga sangat penting dalam sesuatu sistem pendidikan. Cuma waktu ini kita perlu melaksanakannya dalam keadaan yang berbeza tanpa membatalkannya.

6. Di Negara yang lebih parah kes Covid19 seperti Jerman, mereka telah membuat keputusan untuk meneruskan pembukaan sekolah pada 4 Mei secara perlahan dengan keutamaan kepada kohort yang akan menduduki peperiksaan. Ini juga berlaku di Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan beberapa negara lain.

7. Mungkin wajar untuk dipertimbangkan agar semua kohort yang menduduki peperiksaan diutamakan sama ada dengan membenarkan mereka pergi ke sekolah atau disediakan menghadapi peperiksaan secara online.

8. Benar hampir 40 peratus pelajar tidak mempunyai peranti untuk pembelajaran online. Maka kerana itu, kita mesti ada penyelesaian untuk menyediakan peranti ini dengan keutamaan mesti diberikan kepada kohort yang menduduki peperiksaan.

9. Banyak kawasan di Malaysia ini adalah dalam zon hijau. Kawasan pendalaman kebanyakannya adalah zon hijau. Dan kita juga mempunyai mekanisme untuk mengenalpasti kawasan merah.

10. Mungkin boleh dipertimbangkan agar mereka yang dalam zon hijau disediakan untuk menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan. Sementara mereka yang dalam kawasan merah atau sekitarnya, dibenarkan menangguh dan disediakan peperiksaan umum Fasa Kedua.

11. Dalam waktu yang sangat luar biasa ini, penyelesaian kita tidak harus sama sekali mengambil pendekatan ‘one size fits all”.

12. Justeru itu, mungkin dengan Pelan Kebersihan dan Penjarakan Fizikal yang Komprehensif, mereka yang berada dalam zon hijau mesti boleh mengikuti pembelajaran dengan produktif.

13. Pendidikan tidak boleh terhenti walau dalam keadaan apa sekalipun. Ia adalah sumber utama kepada ketahanan kita sebagai sebuah bangsa dan negara.

14. Begitu juga dengan sistem pengajian tinggi kita. Apa jua penangguhan kemasukan dan pembelajaran adalah ‘counter-productive’ kerana semuanya boleh dilakukan secara online.

15. Universiti luar yang mempunyai kampus di Malaysia serta IPTS, telah beralih kepada pendaftaran pelajar baru secara online dan mereka memulakan pengajian juga secara online kepada pelajar baru dengan garis panduan yang kemas dan teratur.

16. Pembelajaran bersemuka hanya akan berlaku setelah keadaan pulih sepenuhnya, yang kita tidak tahu bila.

17. Justeru, pendaftaran pelajar baru di pelbagai peringkat pendidikan tinggi harus berlaku dalam masa yang telah ditetapkan. Pusat matrikulasi dan IPTA kita tidak mempunyai alasan untuk tidak boleh beroperasi secara online dengan ‘seamless’.

18. Malaysia mesti memenangi peperangan dengan Covid19 ini. Dan meneruskan pendidikan dengan pelbagai kelaziman baru adalah sebahagian dari kemenangan ini.

19. Saya menyeru agar KPM memimpin generasi muda Malaysia dalam memerangi pandemik ini melalui keperkasaan semangat, kerja keras, kreativiti dan kemampuan yang luar biasa dengan meneruskan pembelajaran , pendidikan dan peperiksaan, walau dengan cara berlainan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

1 Komen

  1. Idea yang baik oleh YB supaya zon hijau pembelajaran diteruskan seperti biasa, tetapi kalau melibatkan peperiksaan umum tidak boleh ada 2 fasa akan ada kepuashatisan dari rakyat, sebagaimana UEC dan SPM.,begitu juga UPSR/PT3 bulan Ogos dan bulan October sebagai contoh. Kebiasaan 2 peperiksaan UPSR dan PT3 adalah penentuan untuk ke asrama penuh sahaja, kalau itu tujuannya penilaian darjah di sekolah boleh dijadikan ukuran. B40 adalah keutamaan untuk di hantar ke SBP atau MRSM.

Comments are closed.