OKU
Gambar hiasan

DALAM usaha mengecilkan jurang sosio ekonomi di antara bumiputera dan bukan bumiputera khususnya di antara orang Melayu dan orang Cina, Tabung Pendidikan Bumiputera perlu menjadi agenda utama orang Melayu dan sokongan kerajaan Perikatan Nasional, agamawan, cendikiawan, golongan pekerja dan Raja-Raja Melayu amat diharapkan.

Kos pendidikan yang semakin tinggi pasti membebankan orang Melayu/Islam/Bumiputera khususnya yang datang dari kelompok B40. Biasiswa untuk semua anak Melayu perlu segera diusahakan.

Kewujudan universiti swasta tempatan yang berprestij serta cawangan universiti antarabangsa di Malaysia telah melebarkan lagi jurang di antara kelompok masyarakat berkemampuan dengan yang kurang berkemampuan untuk belajar di universiti berprestij tersebut apatah lagi untuk ke luar negara.

Perkembangan politik mutakhir ini, jelas menunjukkan bahawa bagai tiada jaminan kepentingan orang Melayu/Islam/Bumiputera akan sentiasa terjamin seperti termaktub di dalam perlembangaan.

Untuk itu amat penting buat orang Melayu/Islam/Bumiputera membentuk tabung pendidikannya sendiri demi memastikan kelangsungan nasib anak bangsanya.

Bangsa dan agama tidak akan dapat dipertahankan jika anak bangsa dan penganutnya tidak berpelajaran atau tidak setanding dengan kebijaksanaan dan kepintaran yang ada pada orang lain.

Walaupun wang bukan segala-galanya tetapi tanpa wang pasti hidup menjadi sukar termasuk untuk mendapat pendidikan terbaik.

Untuk itu, sebelum terlambat, orang Melayu/Islam/Bumiputera perlu bersatu dalam agenda pendidikan anak bangsanya. Ketepikanlah perbezaan politik buat seketika demi masa depan anak bangsa dan agama kita.

Strategi yang boleh digunakan adalah seperti berikut:

Strategi 1: Satu jutawan Melayu sumbang RM1 juta.

Jutawan Melayu hanya perlu menyumbang sekali untuk jumlah sebanyak RM1 juta sahaja. Andaikan dari 63% rakyat Malaysia iaitu sekitar 22 juta orang dan 5% atau 1.1 juta menderma RM1juta seorang maka tabung ini akan mempunyai dana sebanyak RM1.1 trilion.

Kekayaan seseorang itu contohnya jika dia memiliki wang sebanyak RM3 juta dan diakhir hayatnya dia berikan wang itu kepada 4 orang anaknya, belum tentu anak-anaknya mampu memanfaatkan duit tersebut untuk tempoh beberapa generasi.

Tetapi jika seseorang itu menginfakkan RM1 juta sahaja dan untuk sekali sahaja, maka anak cucunya akan dijamin mendapat biasiswa selagi tabung ini diurus dengan penuh amanah dan integriti.

Strategi 2: Membenarkan Tabung Pendidikan Bumiputera menjadi saluran menerima zakat, waqaf & infak.

Kerajaan negeri dan pusat zakat negeri wajar membenarkan zakat disalurkan ke tabung ini atau jika tidak, pastikan sebahagian dari jumlah zakat yang dikutip oleh pejabat zakat negeri disalurkan secara tetap ke tabung ini.

Di masa yang sama, selaraskan segala keperluan untuk membolehkan tabung ini menerima waqaf dan infak, hadiah atau apa juga bentuk sumbangan.

Strategi 3: Setiap orang Melayu/Islam/Bumiputera sumbang RM10 sebulan

Kerajaan wajar menggalakan dan akhirnya membuat ketetapan agar setiap rakyat Malaysia berbangsa Melayu/Islam/ Bumiputera membuat potongan gaji setiap bulan minimum RM10 sebulan.

Andaikan terdapat sekirar 5 juta orang Melayu/Islam/Bumiputera berkerja iaitu 63% dari jumlah rakyat berkerja iaitu sekitar 8 juta orang, maka dengan sumbangan sebanyak RM10 seorang akan membolehkan wang terkumpul sebanyak RM50 juta sebulan atau RM600 juta setahun.

Dengan kata lain, ketiga-tiga strategi di atas mampu membiayai pengajian anak bangsa iaitu orang Melayu/Islam/Bumiputera di universiti-universiti terbaik di dalam negara dan juga di luar negara.

Sehubungan dengan itu, pihak bertanggunjawab iaitu dalam kalangan pemikir Melayu/Islam/Bumiputera yang berada dalam pengurusan tabung itu perlu menyusun strategi bagi memastikan berapa ramai anak bangsa mengikuti bidang-bidang pengajian berkaitan contohnya sains dan teknologi, ekonomi dan perniagaan, agama dan lain-lain.

Tabung Pendidikan Bumiputera ini perlu diuruskan secara profesional. Sebahagian dari dana boleh dilaburkan dalam projek-projek menguntungkan demi meningkatkan lagi jumlah dana.

Usaha menubuhkan tabung ini perlu dilihat sebagai satu jihad buat seluruh umat Melayu/Islam/Bumiputera. Sesungguhnya tidak akan datang bangsa lain untuk menolong bangsa kita melainkan kita sendiri berjuang membela nasib bangsa kita.

Perjuangan ini bersesuaian dengan firman Allah swt dalam surah ar-r’ad ayat 11 yang bermaksud… Allah tidak akan mengubah nasib satu-satu kaum itu melainkan kaum itu berusaha mengubah nasibnya sendiri.

Penulis adalah Profesor di Jabatan Pengurusan Strategik UUM

2 Komen

  1. Cadangan yang sangat bernas dalam mengangkat mertabat anak2 dan orang2 Melayu!

    Tetapi perlu lebih berhati2 dan teliti, takut2 nanti ada diantara mereka yang dipungut ini bila sudah menjadi bijak pandai mungkin ada yang sanggup menjadi khadam dan kaldai kepada DAP!

Comments are closed.