Razman Zakaria

KUALA LUMPUR- Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria memohon maaf kerana telah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Gambar Razman bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan beberapa individu lain yang sedang makan beramai-ramai tanpa penjarakan sosial tular, semalam.

Menurut Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak itu, setiap hari beliau turun untuk membantu petugas barisan hadapan dan dalam masa yang sama mengenal pasti kekurangan peralatan yang dihadapi oleh para petugas.

“Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar. Setiap malam petugas kami menghantar makanan bermasak kepada petugas sekatan jalan raya di sekitar Bagan Serai khususnya.

“Sebagai contoh, jika kita tidak turun padang mana kita dapat tahu keperluan tandas bergerak untuk kegunaan petugas sekatan jalanraya amat mendesak.

“Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal SOP dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP InshaAllah kami akan atasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu,, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah, Muhammad Rif’aat Razman menjelaskan, kunjungan Dr. Noor Azmi dan para pengiringnya ke sekolah tersebut adalah untuk menunaikan solat Asar dan makan kerana tidak sempat makan tengahari.

Pada masa yang sama, sebuah majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung diadakan.

“Esok, saya dan Baba dipanggil ke IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Gerik untuk memberi keterangan mengenai laporan yang dibuat mengenai timbalan menteri dan pengiringnya singgah solat dan makan (petang lepas asar baru makan tengah hari) di maahad tahfiz kami.

“Sambil depa singgah maahad, adala disampaikan sumbangan kepada orang kampung. Singgah solat, makan dan sampaikan sumbangan sahaja, sebenarnya tiada isu besar pun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Muhammad Rif’aat merupakan anak kepada Razman.

Tambahnya, beliau akan memberi kenyataan kepada pihak polis berhubung perkara tersebut.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan pihak polis akan menyiasat perkara berkenaan.

Ismail Sabri sebelum ini memberi amaran keras kepada orang ramai supaya mematuhi arahan PKP atau berdepan hukuman yang lebih tegas apabila perintah tersebut mula memasuki fasa ketiga selepas lebih sebulan diaktifkan.

Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang masih ingkar.

Pesalah akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi kesalahan kedua bawah akta tersebut, ia membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.- MalaysiaGazette