Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan aktiviti pengesanan kes masih giat dilakukan oleh pihaknya ketika ini.

“KKM masih giat melakukan pengesanan kes terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya pada sidang media hari perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, penurunan jumlah kes harian yang dilihat sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif yang dijalankan kerajaan dalam tempoh dua minggu dan sebulan lalu.

“Terima kasih kepada barisan hadapan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, polis dan Jabatan Imigresen Malaysia serta badan bukan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, perancangan hari ini akan dapat dinilai hasilnya dalam tempoh dua minggu akan datang.

Justeru, Noor Hisham memohon agar rakyat Malaysia dapat sama-sama menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Ditanya mengenai kawasan Lembah Pantai yang masih lagi dikategorikan sebagai kes positif tertinggi jangkitan wabak itu di negara ini, Noor Hisham berkata, kepadatan penduduk di kawasan itu merupakan faktor utama penyumbang peningkatan kes.

“Kita telah laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan Masjid India. Kementerian masih lagi melakukan pengesanan aktif di kawasan berkenaan dan berharap tiada kluster baharu direkodkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette