SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyediakan mekanisme alternatif untuk memudahkan umat Islam membuat pembayaran zakat fitrah khususnya kepada golongan buta teknologi maklumat (IT) yang tidak tahu menggunakan sistem dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M. Yusop berkata, pihaknya ada mencadangkan beberapa kaedah bagi membantu golongan buta IT ini yang kebanyakan berada di luar bandar.
“Selama ini mengikut rekod kita, 90 peratus daripada pembayar zakat fitrah melalui penolong amil fitrah di masjid dan surau. Ini kali pertama kita laksanakan pembayaran dalam talian,
“Kita telah berbincang dengan pihak berkuasa termasuk MKN, PDRM, KKM dan Jais bagaimana untuk melaksanakan kutipan jika PKP berterusan.
“Mereka yang berada di luar bandar yang tidak celik IT untuk menggunakan sistem dalam talian, Insya-Allah minggu ini kita dapat kelulusan bagaimana kaedah sesuai.
“Ia tertakluk kepada keputusan akhir yang akan diluluskan pihak MKN dan mendapat perkenan daripada DYMM Sultan Selangor dalam minggu ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat LZS, di sini, hari ini.
Katanya, golongan buta IT ini kemungkinan akan dibenarkan membuat pembayaran zakat fitrah melalui penolong amil fitrah yang dilantik di 500 masjid dan surau di seluruh Selangor.
“Insya-Allah kita akan melaksanakan kutipan melalui penolong amil fitrah, namun tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada penularan Covid-19 disebabkan oleh kutipan ini.
“Kita ada 2,800 penolong amil fitrah yang kita lantik, mereka yang berisiko kita tak benarkan mereka kutip zakat. Jika mereka ada penyakit jantung kronik, berumur lebih 60 tahun dan mempunyai sejarah penyakit berbahaya,” katanya.
“Dalam masa sama, memakai perlu memakai topeng muka dan selepas membuat pembayaran zakat fitrah, pembayar perlu memasukkan kupon bayaran ke dalam kotak khas.
“Kita cuba memastikan penolong amil fitrah dan pembayar zakat fitrah tidak dijangkiti Covid-19 apabila proses pengutipan zakat fitrah dilaksakan.
“Waktu pembayaran kita cadangkan dua jam di waktu pagi dan dua jam di waktu petang iaitu dari jam 9 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang. Kita terhadkan masa untuk hadkan pergerakan,” katanya. – MalaysiaGazette