Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menyimpan dadah jenis heroin dalam kotak rokok Dunhill berputih mata apabila dia dicekup polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek yang menaiki kereta Toyota Vios ditahan dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Setia Jaya, di sini.

“Pihak polis menjalankan pemeriksaan ke atas fizikal suspek sebelum menjumpai satu kotak rokok jenama Dunhill di dalam genggaman tangannya.

“Hasil pemeriksaan dalam kotak rokok itu polis berjaya menjumpai dua paket plastik lutsinar berisi bahan berwarna kuning disyaki dadah jenis heroin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis telah merampas barang kes tersebut dan menangkap suspek dan dibawa ke pejabat Narkotik IPD Gombak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek telah direman pada Ahad untuk siasatan lanjut kes,” ujarnya.

Sementara itu, polis menahan enam lelaki yang leka minum minuman keras di kawasan perumahan Taman Garing Jaya 5, Rawang.

Katanya kejadian berlaku kira-kira jam 4.43 petang semalam ketika pasukan polis yang terlibat dalam tugas memantau PKP di kawasan Rawang menerima arahan ke lokasi tersebut.

“Setibanya di lokasi, pihak polis mendapati ada enam lelaki sedang berkumpul sambil minum minuman keras di kawasan itu.

“Atas ketidakpatuhan arahan PKP, pihak polis akhirnya telah menangkap kesemua suspek di atas kesalahan di bawah peraturan 11 (Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) 2020 dan kesalahan mereka berada di luar rumah tanpa sebab yang munasabah ketika dalam PKP.

“Kesemua mereka telah di bawa ke Balai Polis Rawang untuk tindakan selanjutnya (tuduhan di mahkamah),” katanya. -MalaysiaGazette