Noor Hisham berdiri di tengah, barisan belakang.

KUALA LUNMPUR – Sejak di bangku sekolah lagi di Methodist Boys’ School Kuala Lumpur (MBSKL), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memang sudah dikenali dengan sikapnya yang merendah diri dan berusaha tanpa berheboh.

Keith Thong, kini pemegang amanah Persatuan MBSKL berkata, sehingga kini, Noor Hisham masih mengekalkan sikap merendah diri dan tidak pernah “merebut tempat” semasa bergambar dalam majlis atau aktiviti yang dianjurkan.

Katanya,  Noor Hisham pernah hidup susah ketika duduk bersama ibunya di Flat Sang Peng di Kuala Lumpur.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

“Ramai pelajar duduk di kawasan berhampiran pada masa itu, ia seperti sebuah kawasan orang miskin dalam pusat bandar.

“Mungkin disebabkan beliau berasal dari keluarga yang susah, oleh itu Hisham memang merendah diri dan bersopan sejak di bangku sekolah.

“Beliau tak banyak bercakap, tetapi banyak buat kerja secara diam-diam,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily melalui Zoom.

Rakan-rakan sekolah Noor Hisham telah menghasilkan sebuah video untuk meraikan hari jadi Ketua Pengarah Kesihatan itu yang jatuh pada 21 April.

Seorang rakan sekolah juga kelihatan “mengadu” dalam video dengan mengatakan rambutnya lebih kusut berbanding biasa kerana akur kepada nasihat Noor Hisham untuk tidak keluar gunting rambut.

Tidak kurang juga rakan yang mengucapkan tahniah kerana Noor Hisham diberi pengiktirafan bertaraf global dalam usaha memerangi penularan COVID-19.
Noor Hisham berdiri di tengah, barisan belakang.

Menariknya, kawan terbaik Noor Hisham di zaman sekolah iaitu Mazlan juga muncul dalam video itu untuk mengucapkan selamat hari jadi.

“Masa itu, Noor Hisham perlu berjalan satu kilometer untuk tiba di sekolah dan orang yang menemaninya semasa pergi sekolah dan balik rumah tak lain dan tak bukan Mazlan.

“Perjalanan pergi ke sekolah ini sebenarnya agak menyeronokkan buat kami semua kerana ia memberi peluang untuk kami bercakap panjang lebar,” kata Keith.

Noor Hisham berdiri di tengah, barisan belakang. (Bukan yang ada panah)

Seorang lagi rakan sekolah, Ron Leong berkata, pemberian nama samaran adalah tabiat biasa pelajar sekolah rendah, tetapi Noor Hisham terlepas daripada nasib malang itu walaupun ada kawan lain yang diberi macam-macam nama.

“Noor Hisham tidak pula terlibat dengan memanggil orang lain dengan nama samaran dan beliau juga tidak diberi nama samaran. Kami memanggil dia sebagai Hisham sahaja.

“Ini bagaimanapun tidak bermaksud Hisham mengasingkan diri dengan pelajar lain. Dia memang seorang yang mudah didekati,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.