KUALA LUMPUR – Polis akan meningkatkan sekatan jalan raya di zon selatan daerah Petaling Jaya berikutan keberkesanan inisiatif tersebut yang sebelum ini tertumpu di bahagian utara semasa fasa pertama dan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata beliau sedang mengkaji untuk menambah bilangan sekatan jalan raya di bahagian Selatan PJ dalam masa terdekat untuk melancarkan lagi penguatkuasaannya.
“Sejak penguatkuasaan PKP dari 18 Mac sehingga kini, seramai 484 telah ditangkap atas kesalahan PKP dan 90 daripadanya berjaya diheret dan dituduh di mahkamah.
“Maka saya sedang kaji menambah lagi sekatan jalan selatan PJ kerana pada fasa pertama dan kedua kita terlalu fokus bahagian Utara daerah ini.
“Jadi kita sedang mengkaji kemungkinan menambah dua lagi sekatan jalan di PJ Selatan dan bakal dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media di sini.
Menurut Nik Ezanee, hasil pemerhatian pelaksanaan sekatan jalan raya sejak hari pertama PKP mendapati 90 peratus kenderaan mempunyai surat kebenaran bergerak atas perkara essential.
Malahan katanya, sambutan memberangsangkan diterima terhadap pelaksanaan sistem rondan aberdeen iaitu pemantauan pegawai secara berjalan kaki di kawasan perumahan dan pusat komersial di daerah tersebut.
“Sangat memberangsangkan sambutan sistem aberdeen ini, yang mana mereka juga ada buat tangkapan iaitu 18 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan langgar PKP.
“Maka saya juga mengkaji untuk menambah sistem rondaan aberdeen di daerah ini kerana kita nampak kebanyakan tangkapan itu dibuat di bahagian selatan PJ sejak dilancarkan minggu lalu,” ujarnya.-MalaysiaGazette