Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan barang rampasan kes pecah rumah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2020.

PETALING JAYA – Tindakan tujuh suspek yang dipercayai bergiat aktif dalam kes pecah rumah dan kegiatan mencuri kabel sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya ditumpaskan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama pada 20 April sekitar jam 11 pagi melibatkan dua suspek berusia 30 tahun.

Kedua-dua suspek ditahan di lobi menara KLK Mutiara Damansara sebelum hasil soal siasat mendapati mereka mengaku mencuri kabel di bangunan berkenaan dan menjual kepada sebuah kedai barang lusuh di Puchong.

“Mereka ditahan reman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Manakala pada hari yang sama, bertindak atas maklumat awam mengenai insiden curi kabel pasukan PJ berjaya melakukan serbuan kedua sekitar 6.15 petang apabila polis dari Balai Seapark menahan dua lelaki berumur 27 dan 36 tahun bersama sebuah lori di pekarangan sebuah kuil di Sungai Way.

“Hasil siasatan mendapati seorang suspek mempunyai 22 rekod kes lampau iaitu kes pecah rumah, lima kes samun, empat kes dadah, lima kes curi kenderaan, lima samun serta kes dadah manakala rakan jenayahnya mempunyai sembilan rekod lampau dan dikehendaki dalam satu kes dadah,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Nik Ezanee, berpandukan pengakuan kedua-dua suspek berkenan, polis menyerbu sebuah premis besi buruk di Taman Desa Ria sebelum menahan seorang suspek bernama Boy yang merupakan pembeli kesemua kabel curi.

Hasil pemeriksaan di premis itu, Boy berusia 36 tahun itu juga mempunyai satu rekod lampau kes dadah itu mengakui membeli satu guni plastik putih yang mengandungi wayar tembaga dibakar dari dua suspek yang ditangkap.

“Polis juga merampas ala-alat yang digunakan untuk kecurian kabel antaranya aluminium, topi dan beberapa jumlah kunci dan kesemua anggaran kerugian RM300,000 dan dipercayai aktif selama enam bulan sejak November lalu.

“Kedua-dua suspek hasil soal siasat mengakui bekerja dengan seorang lelaki bernama Benet yang turut terlibat dalam kes curi kabel sebelum polis berjaya menahan Benet pada 6.20 petang oleh pasukan Sungai Way dengan seorang lagi rakan sejenayah.

“Hasil siasatan mendapati Benet, 32, terlibat dalam kejadian samun Tabika Kemas di Sungai Way bersama rakan sejenayahnya berusia 31 tahun,” ujar beliau.

Kedua-dua mereka ditahan di Apartmen Seri Setia, Sungai Way dekat sini pada hari yang sama dan direman lima hari untuk disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Benet mempunyai 12 rekod lampau kes dadah dan jenayah manakala rakannya berusia 31 tahun itu mempunyai 27 rekod lampau dadah dan jenayah.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah curi dan pecah rumah selain sejumlah telefon bimbit milik mangsa dalam keadaan dileraikan, minyak masak, unit pemprosesan pusat komputer, vakum, alat penapis air, periuk nasi yang dipercayai barang curi,” tegasnya.-MalaysiaGazette