KUCHING – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, yang dijadualkan dilangsungkan sehari hari ini, ditangguhkan lagi ke 11 Mei.

Ini merupakan kali kedua sidang dewan itu terpaksa dijadual semula, berikutan penularan COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Tiada kenyataan rasmi atau pengumuman dikeluarkan DUN Sarawak berhubung penangguhan itu, namun Timbalan Speaker Datuk Gerawat Gala dilaporkan sebuah portal berita tempatan mengatakan, ketidaktentuan berhubung tempoh PKP memaksa penangguhan terbaharu ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Chiew Chin Sing, ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan ada menerima e-mel yang memaklumkan tentang penangguhan sidang hari ini.

“Saya ada menerima e-mel minggu lepas dari pihak DUN berhubung penangguhan hari ini, namun e-mel itu tidak menyebut sebab penangguhan berkenaan,” katanya.

Setiausaha DUN Sarawak Pele Peter Tinggom dalam kenyataan pada 19 Mac lepas memaklumkan, Mesyuarat pertama bagi penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hanya akan berlangsung sehari pada 13 April berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Bagaimanapun, berikutan perlanjutan PKP, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan mesyuarat itu ditangguhkan kepada hari ini, dan hanya dilangsungkan sehari, kerana kerajaan negeri perlu mematuhi Perlembagaan Negeri, sebelum ditangguhkan sekali lagi ke 11 Mei ini.- BERNAMA