Cheras dikategorikan kembali menjadi zon merah aktif selepas mencatatkan 43 kes aktif kebolehjangkitan Covid-19.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan memaklumkan Cheras dikategorikan kembali menjadi zon merah aktif selepas mencatatkan 43 kes aktif kebolehjangkitan Covid-19.

Menerusi data yang diberikan CPRC mendapati ada pertambahan empat kes import baru yang dicatatkan di kawasan itu pada Selasa.

Jumlah kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 di Cheras pada Isnin dicatatkan pada 39 kes dan pada Selasa, 43 kes.

Kes kumulatif di kawasan itu juga meningkat daripada 86 kes kepada 93 kes positif Covid-19 semalam.

Selain Cheras, sebanyak 13 lagi zon merah aktif adalah Petaling dengan 106 kes aktif dengan jumlah kumulatif kes positif adalah 371 iaitu Hulu Langat dengan 96 kes aktif (416 kes positif); Klang 51 (173 kes positif).

Lembah Pantai masih tertinggi dengan 347 kes aktif (634 kes positif); Kepong 87 kes aktif (159 kes positif); Titiwangsa 58 kes (135 kes positif); Melaka Tengah 60 (89 kes positif); Seremban 100 kes aktif (308 kes positif); Kuantan 71 kes (123 kes positif); Johor Bahru 73 kes aktif (194 kes positif); Kluang 86 (222 kes positif); Kuching 217 (280 kes positif); dan Kota Samarahan 59 kes (68 kes positif).

Sehingga semalam, tujuh negeri sudah keluar daripada zon merah akhir antaranya Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

Bagaimanapun Perak masih kekal dua zon merah bagi kes kumulatif positif Covid-19 iaitu di Hilir Perak dengan 65 kes positif dan Kinta 94.

Juga di Kelantan dengan Kota Bharu masih dikategorikan zon merah bagi kes kumulatif dengan 90 kes positif Covid-19.

Selain Perak dan Kelantan, Sabah juga masih terdapat tiga zon merah bagi kes kumulatif Covid-19 iaitu di Kota Kinabalu 44 kes positif, Lahad Datu 42 kes positif, dan Tawau 81 dengan 29 kes aktif kebolehjangkitan Covid-19.

Kawasan jingga bagi kes kebolehjangkitan Covid-19 pula tujuh zon iaitu di Gombak 27 (144 kes positif); Putrajaya 32 kes (77 kes positif); Jasin 39 (70 kes positif); Dungun 28 (38 kes positif); Kulai 23 (45 kes positif); Muar 23 (48 kes positif) dan Tawau 29 (81 kes positif).

Dalam pada itu, Perlis negeri pertama di negara ini bebas daripada wabak Covid-19 selepas 18 kes positif sebelum ini telah pulih sepenuhnya.

Ini menjadikan kesemua daerah di negeri itu berada di bawah zon hijau.

Sebelum ini, sembilan mukim negeri itu ‘diserang’ Covid-19 manakala 13 yang lain bebas jangkitan wabak berkenaan.- MalaysiaGazette