Son mula menjalani latihan asas ketenteraan di bawah kendalian Tentera Marin di Pulau Jeju.

LONDON – Bintang sensasi Tottenham Hotspur, Son Heung-min berdepan dunia baharu apabila telah memulakan latihan ketenteraan selama tiga minggu di Korea Selatan.

The Guardian melaporkan, Son menjalani latihan asas di bawah kendalian Tentera Marin di Pulau Jeju.

Sebelum ini, penyerang 27 tahun itu telah menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari kota London.

Sebaik tamat tempoh itu, dia telah mendapat arahan undang-undang untuk menjalani latihan ketenteraan tersebut.

Son hanya perlu menjalani latihan selama tigga minggu berbanding tempoh sebenar iaitu 21 bulan berikutan kejayaan mengutip pingat emas pada Sukan Asia 2018.

Son mengambil kesempatan menghabiskan latian itu kerana penangguhan perlawanan EPL disebabkan penularan Covid-19 dan dia dijangka akan kembali semula ke pangkuan kelab pada pertengahan Mei ini.

Dalam latihan ketenteraan tersebut, Son akan didedahkan dengan penggunaan gas pemedih mata, menjalani pendakian serta dilatih untuk menggunakan senjata api. – MalaysiaGazette