Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Hari kesembilan Fasa Ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini menyaksikan sebanyak 71 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengahari di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes positif virus global pandemik setakat ini adalah sebanyak 5,603 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,966 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 42 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu melibatkan 21 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Malah terdapat 90 kes terbaharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,542 kes iaitu dengan kadar discaj 63.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah melebihi bilangan kes yang dilaporkan,” katanya dalam sidang media situasi terbaharu jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dalam pada itu, tambah Noor Hisham, daripada dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan dua kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurutnya, ia sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu di negara ini adalah sebanyak 95 kes setakat ini (1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ujarnya, kes kematian ke-94 (kes ke-3,871) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-3,662 (yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor).

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 23 April 2020 jam 12.36 tengah malam dan ini merupakan kematian ketiga dalam kalangan anggota kesihatan KKM.

“Kes kematian ke-95 (kes ke-4,129) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit
jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes
ke-1,575 (yang berkaitan dengan kluster PUI Bali). Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 11.48 malam,” katanya. – MalaysiaGazette