Foto hiasan

KUANTAN – Hasrat seorang peniaga dalam talian untuk menjual penutup hidung dan mulut menjadi pengalaman pahit buat dirinya selepas mendakwa kerugian RM108,300 akibat ditipu pembekal yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa telah menempah barangan itu daripada seorang wanita kononnya dari Pulau Pinang menerusi WhatsApp pada 3 April lepas.

“Mangsa mendakwa bayaran itu dibuat secara pemindahan wang sebanyak sembilan transaksi bagi membeli 2,700 kotak penutup hidung dan mulut yang setiap satu bernilai RM40.

“Barangan itu dikatakan akan dihantar ke rumah mangsa di Felda Keratong, Rompin dengan menggunakan lori dengan jangkaan tiba pada Isnin lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa bagaimanapun mendakwa sehingga semalam, barangan tersebut masih belum diterima selain gagal menghubungi suspek, menyebabkan dia berasa ditipu.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Tun Abd Razak, Rompin semalam dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA