Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak dua lagi pertambahan kes kematian berkaitan wabak Covid-19 yang dicatatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 98 kes.

“Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan hari ini memaklumkan terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 98 kes (1.71 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya pada sidang media harian di KKM, di sini, hari ini.

Menurut Noor Hisham, dua kes kematian yang dicatatkan hari ini membabitkan seorang lelaki dan wanita yang berusia 62 tahun.

Katanya, lelaki itu merupakan kes ke-2354, seorang warganegara Malaysia dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 April 2020 jam 3.53 pagi,” katanya.

Manakala bagi wanita itu pula merupakan kes ke-2806 warganegara Malaysia dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1346 (yang merupakan anak beliau).

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 24 April 2020 jam 5.43 petang,” katanya.

Sementara itu, KKM juga mencatatkan sebanyak 99 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,762 kes (65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah hampir dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat 51 kes baharu positif Covid-19 yang telah dilaporkan hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,742 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,882 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 16 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette