Mauricio Pochettino.

LONDON – Newcastle United mampu menarik minat pemain ternama dunia menyertai kelab tersebut sekiranya The Magpies membawa masuk pengurus pasukan yang tepat.

Bekas penyerang kelahiran Bulgaria, Dimitar Berbatov menegaskan kelab itu perlu melantik pengurus dengan reputasi tinggi seperti Mauricio Pochettino bagi membolehkan mereka menarik perhatian bintang-bintang bola sepak dunia.

Salah seorang pemain bintang dunia yang berada dalam fikiran Berbatov adalah pemain jentera serangan Real Madrid, Gareth Bale.

”Newcastle perlu melantik Mauricio Pochettino sekiranya khabar angin ini (pemilikan baharu) menjadi kenyataan dan ia adalah satu langkah hebat dilakukan oleh kelab ini.

”Jika Pochettino berada di sana maka itu akan menjadi petanda pertama daripada pemilik baharu, kepada pemain yang mereka sasarkan bahawa kelab itu bersedia untuk berbelanja,” ujar Berbatov menurut laporan Goal.

Newcastle sebelum ini dilaporkan semakin hampir untuk mendapat pemilik baharu dari Arab Saudi dan bakal mendapat suntikan dana ‘luar biasa’ sekiranya proses pengambilalihan itu berjaya direalisasikan.

Konsortium Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF) dilaporkan akan memegang 80 peratus pegangan dan sekiranya segalanya berjaya mencapai kata putus, Yasir Al-Rumayyan bakal dilantik sebagai pemilik baharu Newcastle United bagi menggantikan Mike Ashley. – MalaysiaGazette